Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permasalahan ragu-ragu dalam bilangan rakaat sembahyang

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Manusia mempunyai berbagai-bagai sifat kelemahan lagi serba kekurangan. Sifat lupa, silap, ragu-ragu dan sebagainya merupakan antara sifat-sifat kekurangan yang sering melanda manusia dalam apa sahaja perkara serta urusan, tidak terkecuali juga ketika melakukan ibadat seperti sembahyang dan puasa.

    Namun demikian, syarak tidak terlepas pandang akan kelemahan dan kekurangan manusia ini. Kerana itu, dalam mengerjakan ibadat sembahyang misalnya, syarak telah memberikan bimbingan serta hukum-hukum tertentu sekiranya dalam ibadat sembahyang seseorang itu terdapat kekurangan atau kecacatan akibat dari sifat-sifat kelemahan ini. Khusus mengenai ibadat sembahyang, antara perkara yang sering melanda manusia ketika mengerjakannya ialah ragu-ragu dalam bilangan rakaat.

    Syarak telah menyediakan beberapa panduan serta kaedah tertentu bagi menghadapi masalah ragu-ragu dalam bilangan rakaat ini:

    1. Kaedah asas apabila ragu-ragu dalam bilangan rakaat ialah meninggalkan yang syak dan mengambil yang yakin.

    Apabila seseorang itu mengerjakan ibadat sembahyang, lalu dia ragu-ragu bahawa adakah bilangan rakaat sembahyangnya sudah cukup ataupun masih kurang, sebagai contoh, ketika menunaikan sembahyang fardhu Zuhur, dia ragu-ragu mengenai rakaat yang sedang dikerjakannya pada ketika itu adakah rakaat ketiga ataupun rakaat keempat, maka dalam situasi ini, orang itu wajib mengetepikan keraguannya dan mengambil bilangan yang yakin, iaitu mengirakan bahawa bilangan rakaatnya masih kurang.

    Ini dengan mengirakan bahawa rakaat yang dikerjakannya itu ialah rakaat ketiga, kemudian hendaklah dia menambah satu rakaat lagi (rakaat keempat) selepas rakaat ketiga itu bagi menghilangkan keraguan yang ada tadi dan sebagai langkah ihtiyath (berhati-hati). Ini kerana menurut asalnya, dia dikirakan belum mengerjakan rakaat keempat.

    Kemudian setelah selesai rakaat keempat, sunat dia mengerjakan sujud sahwi selepas tahiyyat akhir, iaitu sebelum memberi salam. Perkara ini dilakukan bagi menambal kecederaan atau kecacatan yang terdapat dalam sembahyangnya kerana dia telah meneruskan rakaat yang dikerjakannya selepas rakaat ketiga itu secara ragu-ragu akan bilangannya yang sebenar, di samping terdapat kemungkinan bahawa rakaat yang dikerjakannya secara ragu-ragu itu boleh jadi rakaat keempat dan boleh jadi juga rakaat yang kelima.

    Menurut pendapat yang ashah dalam mazhab asy-Syafi‘i, sujud sahwi itu tetap sunat dikerjakan walaupun sebelum memberi salam dia teringat dan yakin bahawa rakaat yang terakhir dikerjakannya itu adalah benar-benar rakaat yang keempat.

    2. Dalam perkara ragu-ragu dalam bilangan rakaat ini, seseorang itu tidak boleh bersandar kepada sangkaannya semata-mata. Begitu juga dia tidak boleh berpegang kepada kata-kata mahupun perbuatan orang lain sebagai sandaran bagi memastikan bilangan sebenar rakaat sembahyangnya. Ini kerana perkara ini berkait dengan urusan sembahyangnya sendiri dan tidak ada kena mengena dengan orang lain, jadi tidak dibolehkan baginya berpegang atau berpandukan kepada kata-kata mahupun perbuatan orang lain tentang urusan sembahyangnya sendiri.

    Bagaimanapun, menurut Imam az-Zarkashi Rahimahullah, jika bilangan orang ramai itu mencapai bilangan mutawatir, yang menurut kebiasaannya, perkhabaran dari orang ramai dalam bilangan seumpama itu dapat diyakini dan dapat dipastikan kesahihannya, maka dalam hal ini hendaklah orang itu berpegang kepada kata-kata ataupun perbuatan orang-orang tersebut. Bahkan menurut Imam asy-Syibramalissi Rahimahullah, wajib atasnya mengikut kata-kata ataupun perbuatan orang ramai yang mencapai bilangan mutawatir itu.

    Setelah selesai rakaat keempat, sunat seseorang itu mengerjakan sujud sahwi selepas tahiyyat akhir, iaitu sebelum memberi salam jika tertinggal rakaat atau ragu-ragu akan bilangannya yang sebenar. – Agensi

    3. Sekiranya seseorang itu mengerjakan sembahyang dalam jemaah yang bilangannya mencapai bilangan mutawatir. Sekiranya dia ragu-ragu dalam bilangan rakaat sembahyangnya, maka memadailah dia berpandu kepada perbuatan ahli jemaah sembahyang tersebut dan mengikut mereka.

    Menyentuh tentang jumlah bilangan mutawatir ini, Imam asy-Syibramalissi dan Imam asy-Syarwani Rahimahumullah menukilkan dalam kitab mereka bahawa sebahagian pendapat ada menyebutkan bahawa bilangan yang dikirakan sebagai mutawatir itu ialah sekurang-kurangnya hendaklah melebihi bilangan empat orang.

    Sekiranya sewaktu mengerjakan suatu rakaat itu dia ragu-ragu akan bilangannya, lalu dia mengerjakan rakaat yang seterusnya dalam keadaan ragunya itu masih ada, maka disunatkan dia sujud sahwi.

    Sebagai contoh, dalam sembahyang empat rakaat seperti sembahyang fardhu Zuhur misalnya, ketika berada dalam rakaat ketiga, dia ragu-ragu mengenai rakaat yang sedang dikerjakannya itu adakah benar-benar rakaat ketiga ataupun sudah rakaat keempat, kemudian selepas dia meneruskan rakaat yang berikutnya (keempat), baru dia teringat kembali bahawa rakaat yang dikerjakannya tadi (rakaat ketiga) itu adalah sememangnya betul rakaat yang ketiga manakala rakaat yang sedang dikerjakannya ketika itu pula adalah sememangnya betul rakaat keempat.

    Maka dalam hal ini, sunat baginya mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi salam kerana dia bangkit mengerjakan rakaat keempat itu dalam keadaan syak atau ragu-ragu bahawa kemungkinan rakaat keempat itu sebenarnya adalah rakaat tambahan yakni rakaat yang kelima.

    Bagaimanapun, jika dia teringat kembali dalam rakaat ketiga itu juga, iaitu sebelum dia mengerjakan rakaat seterusnya (keempat), bahawa rakaat yang sedang dikerjakannya itu adalah rakaat yang ketiga, maka dalam hal ini tidak disunatkan dia sujud sahwi.

    4. Apabila seseorang itu tersedar bahawa dia telah terlebih rakaat, sebagai misal, ketika mengerjakan sembahyang fardhu Zuhur, dia teringat bahawa rakaat yang disangkakannya rakaat keempat yang sedang dikerjakannya ketika itu sebenarnya adalah rakaat yang kelima, maka dalam hal ini, wajib dia turun serta merta meninggalkan rakaat tambahan (yang kelima) itu bagi mengerjakan tahiyyat akhir, sekiranya sebelum dia bangkit mengerjakan rakaat tambahan itu dia belum mengerjakan tahiyyat akhir, kemudian sunat dia mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi salam.

    Akan tetapi, jika sebelum itu dia sudah selesai mengerjakan tahiyyat akhir, lalu dia bangkit mengerjakan rakaat yang kelima kerana terlupa, tersilap ataupun terkeliru, maka dalam hal ini dia tidak perlu lagi mengulangi tahiyyat akhir, memadai dia turun serta merta dan mengerjakan sujud sahwi sahaja dan kemudian memberi salam.

    Demikian beberapa penjelasan serta panduan mengenai permasalahan ragu-ragu dalam bilangan rakaat. Mudah-mudahan dengan penjelasan ini, ilmu kita tentang ibadat sembahyang semakin bertambah serta sembahyang yang kita kerjakan menjadi lebih sempurna.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda