Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permasalahan signifikan dalam drama Melayu

    Oleh Adiiwira

    Suasana bulan Ramadan tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun yang sudah berikutan dengan penularan wabak COVID-19 secara global membuatkan aktiviti harian kita agak terhad, malah kita diarahkan untuk melakukan ibadat di rumah masing-masing.

    Memang tidak dinafikan, bulan Ramadan merupakan di mana kita akan mempertingkatkan amal ibadat. Namun tidak menjadi satu kesalahan jika kita meluangkan sedikit masa untuk menonton drama-drama TV untuk menghilangkan bosan ketika bulan Ramadan, apatah lagi kita hanya terkurung di dalam rumah.

    Pada ketika ini, bermacam-macam drama yang disiarkan dalam pelbagai rangkaian TV sebagai hiburan kepada orang ramai. Sehinggakan sukar untuk kita membuat pilihan drama mana yang perlu ditonton terlebih dahulu dan kadangkala drama-drama itu disiarkan dalam masa yang sama di rangkaian yang berbeza hingga kita terlepas untuk menontonnya.

    Dalam penceritaan drama-drama Melayu, secara signifikan dapat dilihat tidak terlepas dengan dua perihal iaitu tentang kekeluargaan dan percintaan. Namun, kadang-kadang dua perihal ini disatukan yang boleh saling tolong-menolong dalam menunjang ke puncak permasalahan dalam penceritaan sesebuah drama tersebut. Dalam ruangan minggu ini, penulis tertarik dengan dua buah drama baharu yang disiarkan di rangkaian TV3 dan RTM TV2 yang memfokuskan permasalahan kekeluargaan dan percintaan ini.

    Dua buah drama yang hendak dirungkai dalam ruangan kali ini itu ialah drama Bukan Gadis Biasa dan drama Di Hujung Ranting. Penulis mendapat tahu bahawa drama-drama tersebut merupakan adaptasi cerita daripada novel.

    Antara barisan pelakon yang menjayakan drama Di Hujung Ranting. – Agensi
    Bukan Gadis Biasa menampilkan Ayda Jebat dan Remy Ishak sebagai pelakon utama yang akan dimuatkan dalam slot Akasia TV3. – Agensi
    Drama Di Hujung Ranting merupakan drama yang diadaptasi daripada novel karya Indah Hairan yang ditayangkan setiap hari di TV2. – Agensi

    Menyentuh drama pertama, Bukan Gadis Biasa yang menampilkan penyanyi te rkenal, Ayda Jebat yang memegang watak sebagai Johana dan digandingkan bersama pelakon lelaki terkenal, Remy Ishak sebagai Rayyan di dalam drama ini. Drama ini diadaptasi daripada novel karya Liza Nur yang dimuatkan dalam slot Akasia TV3.

    Drama arahan Azman Haji Yahya dan diterbitkan oleh JS Pictures ini menceritakan tentang seorang wanita bernama Johana berubah perwatakan sama seperti lelaki (tomboy) apabila terpaksa melalui kemelut kehidupan yang sukar semasa kecil dan terpaksa menjaga anak buahnya, Aisya setelah kematian kakaknya.

    Amirul, seorang jurulatih tinju kepada Johana menyimpan perasaan terhadapnya kerana tertarik dengan peribadi Johana yang penuh persoalan. Rayyan memiliki syarikat penyiasatan persendirian dan dia diupah oleh ayah saudaranya, Suffian untuk menjejaki opahnya sendiri iaitu Aminah yang hilang dari rumah.

    Selepas meninggalkan rumah, Aminah yang sudah nyanyuk dan kurang siuman tersesat di tengah kota raya dan dibantu oleh Johana. Johana yang kasihan melihat Aminah membawanya pulang dan me-reka tinggal bersama. Rayyan memulakan penyiasatan untuk mencari. Di situlah dia bertemu dengan Johana. Insiden demi insiden berlaku membuatkan Rayyan mula tertarik dengan Johana.

    Apa yang menarik perhatian penulis dalam drama ini ialah watak perwatakan yang digambarkan melalui watak Johana. Hal ini kerana Johana merupakan seorang wanita yang memiliki perwatakan seperti lelaki sama ada dari segi gaya penampilan dan perilakunya. Namun, meskipun diperwatakkan seperti lelaki, Johana tetap memiliki hati seorang wanita yang lembut kerana masih ada perasaan simpati kepada orang lain terutama dalam drama ini seorang wanita tua bernama Aminah.

    Justeru melalui watak Aminah ini, menurut pandangan penulis, watak ini yang menggerakkan penceritaannya mengenai kisah percintaan dan kekeluargaan. Hal ini kerana, adalah tidak mustahil penceritaannya akan menunjang kepada pertemuan watak Johana dan Rayyan menjadi pasangan kekasih atau tidak dan dalam masa yang sama setentunya ada penghalang dalam proses perkenalan mereka sama ada daripada kehadiran orang ketiga atau penentangan daripada keluarga kerana perwatakan Johana yang seperti lelaki. Oleh yang demikian ia merupakan permasalahan yang signifikan dalam drama-drama Melayu.

    Drama ini mula ditayangkan pada 23 April lalu, setiap hari Isnin hingga Sabtu pada pukul tujuh malam yang memiliki sebanyak 28 episod. Di antara barisan pelakon yang turut menjayakan drama ini ialah Nazim Othman, Sheila Rusly, Ozlynn Waty, Maskhan, Lia Natalia, Ako Mustafa, Shajiry, Heryanto Hassan, Zarul Husin dan ramai lagi.

    Drama Di Hujung Ranting yang diarahkan oleh Along Kamaludin yang diterbitkan oleh A.Aida Production ini merupakan drama yang diadaptasi daripada novel karya Indah Hairan. Drama ini menampilkan barisan pelakon seperti Shukri Yahaya, Nad Zainal, Dayang Areeda, Amar Asyraf dan ramai lagi. Drama ini memiliki 30 episod yang mula ditayangkan pada 24 April lalu dan disiarkan setiap hari pada pukul 5.30 petang di TV2.

    Drama ini mengisahkan tentang Mawardah (Nad Zainal), seorang anak yatim piatu yang dibesarkan oleh ibu saudaranya. Dia mengusahakan perusahaan batik milik keluarganya di Terengganu. Semenjak kecil, Mawar bersahabat baik dengan Adi, pemilik sebuah kafe dan menganggap Adi seperti abangnya sendiri. Amar (Shukri Yahaya) seorang pemuda dari Kuala Lumpur juga berada di Terengganu sedang menguruskan satu projek pembinaan milik syarikat bapanya, Dato Hashim. Dalam satu insiden, Amar telah terlanggar kereta Mawar dan sejak kejadian itu mereka mula berkawan.

    Pertemuan itu menumbuhkan bibit cinta Amar terhadap Mawardah. Namun belum sempat cinta diluahkan, Mawardah dikahwinkan dengan Hakim anak rakan karib arwah ibu Mawardah tanpa disedari bahawa lelaki itu adalah abang kandung Amar.

    Perkahwinan itu mengecewakan Amar lalu membawa diri ke negara jiran. Sesungguhnya Mawardah tidak pernah diberitahu bahawa Hakim telah pun memiliki isteri sebelumnya iaitu Fatin. Perkahwinan Fatin dan Hakim di luar negara ditentang keluarga Hakim. Kecurangan Fatin dan desakan ibu Hakim iaitu Datin Fatimah memaksa Hakim menceraikan Fatin dengan talak satu.

    Namun Fatin berusaha untuk kembali memiliki Hakim hingga berjaya. Berita Hakim kembali kepada Fatin dan layanan dingin Hakim terhadap Mawardah membuatkan Amar benci terhadap Hakim. Apakah Amar akan kembali kepada Mawardah semula atau Mawardah pasrah dan tetap setia memegang tanggungjawabnya sebagai isteri.

    Dalam drama kedua ini pula, penulis melihat permasalahan kekeluargaan dan percintaan agak sama rata ditonjolkan berbanding dengan drama yang pertama. Namun, melihat daripada kedua-dua buah drama ini satu perkara yang memperlihatkan persamaannya, di mana, persamaan ini dapat dilihat melalui perebutan wanita dari beberapa orang lelaki

    Sebagaimana dalam drama Bukan Gadis Biasa, watak Johana yang menjadi rebutan dua lelaki iaitu Rayyan dan Amirul, manakala dalam drama Di Hujung Ranting pula, watak Mawardah menjadi rebutan dua beradik iaitu Hakim dan Amar. Namun, apa yang menarik dalam drama kedua adalah timbulnya satu permasalahan berkaitan dengan dendam yang ditonjolkan melalui watak Amar yang membenci Hakim kerana layanannya kepada Mawardah.

    Secara kesimpulan, penulis berpendapat sememangnya penceritaan drama-drama Melayu tidak pernah lari dari permasalahan signifikan yang menjadi jalan penceritaannya terutama sekali tentang kekeluargaan, percintaan dan pere-butan seorang wanita. Namun, apa yang membawa kepada perbezaan dan daya tarikannya adalah dari segi watak dan jalan ceritanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda