Oleh Sim Y. H –
TEMBURONG, 27 JULAI – Daerah Permata Hijau menjadi daerah ketiga yang mengalu-alukan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong, hari ini.
Berangkat sama pada majlis yang berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Daerah Temburong ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muh-tadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.
Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja ke Pentas Diraja dialu-alukan dengan pukulan hadrah serta dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim.
Sebaik sahaja Baginda dan kerabat diraja di atas Pentas Diraja, lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dimainkan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja kemudian dijunjung untuk menyaksikan persembahan khas bertemakan ‘Raja untuk Rakyat dan Rakyat untuk Raja’ oleh kumpulan belia remaja dan anak-anak remaja yang ceria, bertenaga dan penuh warna-warni yang mengandungi tiga segmen serta melibatkan penyertaan daripada murid-murid dan penuntut-penuntut sekolah, belia dan pasukan beruniform di Daerah Temburong seramai 277 orang.
Seterusnya, Baginda Sultan berserta kerabat diraja dijunjung berangkat menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk Daerah Temburong.
Majlis itu menyaksikan penyertaan dan kehadiran pelbagai persatuan dan kumpulan yang sama-sama memeriahkan lagi majlis junjung ziarah termasuk Persatuan Veteran ABDB Cawangan Temburong (PERWIRA), Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei Yang Bersara (POLSARA), Alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Pengawasan Kejiranan, Persatuan PERTIWI Daerah Temburong, takmir masjid dan Persatuan Lun Bawang Murut Brunei.
Majlis berkenaan merupakan salah satu acara yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk daerah berkenaan sebagai peluang untuk beramah-mesra dengan raja dan pemimpin yang amat dikasihi.