Gambar AFP
STELLENBOSCH – Afrika Selatan terkenal dengan wainnya tetapi tidak begitu terkenal dengan minyak zaitun, di mana Greece, Itali dan Sepanyol adalah pengeluar utama yang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Tetapi petani di negara itu tidak terkesan, mengintai peluang untuk mendapatkan bahagian pasaran yang menguntungkan untuk minyak zaitun extra virgin berkualiti tinggi.
Di Tokara, sebuah ladang kira-kira sejam perjalanan dari Cape Town, para pekerja menarik pencakar melalui dahan pokok untuk membuat buah zaitun yang masak jatuh ke tanah.
Aktiviti menuai khazanah hijau tersebut sedang giat dijalankan di kawasan yang popular dengan wain ini di hujung selatan Afrika, di mana landskapnya mengingatkan Tuscany.
‘Bolehkah awda menghidu’ aromanya, tanya Gert van Dyk, 49, pengurus operasi ladang itu, sambil memegang segelas minyak zaitun extra virgin yang baru diperah yang memenangi anugerah di Amerika Syarikat awal tahun ini.
“Awda boleh merasai kepahitan yang enak di bahagian belakang tekak. Kemudian rasa lada itu keluar dan bahagian belakang tekak rasa terbakar dengan baik,” katanya sambil mengemam cecair hijau muda itu seperti pakar wain.
Ladang itu pada asalnya mengkhususkan diri dalam wain tetapi kini mempunyai minyak sebagai salah satu produk utamanya, malah menawarkan sampel percuma untuknya.
“Kami mempunyai minyak zaitun berkualiti yang sangat luar biasa,” kata seorang pengusaha restoran Perancis, Christophe Dehosse (gambar) yang berusia 55 tahun.
Semasa dia berpindah ke negara itu 30 tahun lalu, hanya sedikit orang yang menggunakan minyak zaitun, katanya.
“Tetapi sekarang banyak ladang telah menanam buah zaitun. Tidak ada sebab untuk membeli minyak zaitun yang datang dari Eropah 10,000 kilometer jauhnya,” kata Dehosse yang memiliki empat restoran di rantau ini.
“Kami benar-benar mendapat produk artisanal yang hebat.”
Sangat bergaya
Di restorannya, dia menawarkan pembuka selera gaya Itali iaitu roti ringkas yang dicelup dalam minyak zaitun, yang kelihatan ‘sangat bergaya’.
Dia sentiasa mencari minyak keluaran tempatan. “Saya tahu apa yang saya beli tidak pernah diproses. Ia adalah 100 peratus minyak zaitun extra virgin.”
Buah zaitun Afrika Selatan yang pertama ditanam pada awal abad ke-20 oleh seorang pendatang Itali, Fernando Costa, kata SA Olive, persatuan penanam dan pengeluar.
Kemudian pada tahun 1998, Giulio Bertrand, seorang pesara Itali di Afrika Selatan, mengimport 17 jenis pokok zaitun dan menanamnya di ladangnya di Stellenbosch.
Hari ini, ladang Morgenster menanam pokok zaitun di atas tanah seluas 42 hektar dan berjuta-juta pokok di seluruh negara itu berasal dari pokok zaitun pertama Bertrand.
“Datuk saya dikenali sebagai bapa minyak zaitun di Afrika Selatan kerana dia telah membuka jalan kepada industri minyak zaitun seperti yang kita ketahui pada hari ini,” kata cucu Bertrand yang berusia 29 tahun, Vittoria Castagnetta, yang bekerja untuk perniagaan keluarga yang masih beroperasi.
Sejak itu, bukit-bukit indah di wilayah Cape, dengan iklim Mediterranean dan dipenuhi dengan ladang anggur, telah menghasilkan buah zaitun yang diiktiraf di luar sempadan negara kerana kualitinya.
Satu produk minyak Afrika Selatan pada bulan Mei telah dianugerahkan ‘Minyak Zaitun Terbaik Mutlak’ dalam gelaran dunia pada anugerah EVOOLEUM yang berprestij di Sepanyol.
Ladang yang menang, De Rustica, 400 kilometer dari Stellenbosch, menikmati iklim Mediterranean yang sama.
Walaupun minyak zaitun kekal sebagai produk mewah bagi kebanyakan penduduk Afrika Selatan, pengeluar seperti Van Dyk dalam beberapa tahun kebelakangan ini menyedari ‘peningkatan permintaan daripada pasaran tempatan’ sebagai sebahagian daripada usaha untuk diet yang lebih sihat.
Menghasilkan sehingga dua juta liter minyak zaitun setiap tahun, berbanding pengeluaran global melebihi tiga juta tan, bermakna Afrika Selatan mungkin mengambil masa untuk bersaing dengan jenama global yang besar.
Namun, memasuki industri minyak mewah, adalah ‘salah satu perkara yang boleh dibanggakan oleh Afrika Selatan. Perkara yang sama seperti wain kami, ia hanya perlu ditemui,’ kata cef itu.
Tetapi Afrika Selatan mungkin mula meletakkan dirinya untuk pasaran eksport kerana beberapa pengeluar tradisional dunia di Eropah menghadapi cabaran akibat kemarau dan gelombang haba yang berulang.
Pengeluaran rendah yang disebabkan oleh bencana iklim telah melonjakkan harga minyak zaitun global secara drastik dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada Januari 2022, minyak dijual pada harga 3,500 euro (AS$3,700) setiap tan, setahun kemudian ia meningkat pada 5,300 euro, dan bulan ini ia telah meningkat kepada 5,800 euro, menurut firma broker minyak antarabangsa, Baillon Intercor. – AFP