Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permintaan AI lonjak pendapatan TSMC

    HSINCHU, TAIWAN, 3 JUN – Syarikat semikonduktor gergasi Taiwan (TSMC), hari ini, meramalkan bahawa ia akan mencatat keuntungan tertinggi dalam sejarah pada tahun ini berikutan peningkatan kapasiti pengeluaran semikonduktor bagi memenuhi permintaan yang melonjak terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI).

    TSMC merupakan pengeluar cip kontrak terbesar di dunia dan antara pelanggannya termasuklah Nvidia serta Apple.

    Meskipun tarif Amerika Syarikat (AS) memberikan ‘sedikit’ kesan tidak langsung kepada syarikat itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, CC Wei berkata, perniagaan berkaitan AI kekal ‘sangat kukuh.’

    “Hasil pendapatan dan keuntungan kami tahun ini akan mencatat tahap tertinggi dalam sejarah,” katanya dalam mesyuarat tahunan pemegang saham syarikat berkenaan.

    Dengan permintaan AI yang ‘amat tinggi’, syarikat kini sedang berusaha untuk “meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan,” tambahnya.

    Bagaimanapun, dia menafikan laporan bahawa syarikat merancang untuk membina kilang di Timur Tengah.

    TSMC telah lama menerima tekanan agar memindahkan lebih banyak operasi pengeluaran dari Taiwan, di mana kebanyakan kilang fabrikasi mereka kini beroperasi, berikutan kebimbangan terhadap ketegangan dengan China.

    Beijing mendakwa bahawa pulau itu merupakan sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk menguasainya.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, TSMC telah memulakan projek pembinaan kilang di AS, Eropah dan Jepun.

    Bloomberg News, yang memetik sumber tanpa nama, melaporkan minggu lalu bahawa syarikat itu sedang mempertimbangkan pembinaan kemudahan canggih di Emiriah Arab Bersatu. – AFP

    C.C Wei bercakap semasa mesyuarat pemegang saham tahunan syarikat itu di Hsinchu kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda