Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permintaan air Sarawak dijangka meningkat menjelang 2030

    KUCHING, 13 MEI – Unjuran permintaan air pada 2030 akan meningkat sebanyak 2,400 juta liter sehari (JLH) berbanding 2,060 JLH pada masa ini, berdasarkan pada Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.

    Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri, Datuk Seri Julaihi Narawai berkata bagi memastikan rizab margin air mencukupi, Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada kapasiti loji rawatan air sedia ada.

    “Pada masa sekarang, beberapa loji rawatan air utama sedang beroperasi pada kadar rizab margin yang rendah seperti Loji Rawatan Air Batu Kitang di Kuching iaitu pada kadar 12 peratus dan Loji Rawatan Air Salim di Sibu pada kadar satu peratus sahaja.

    “Oleh itu, beberapa projek utama yang kritikal sedang dan perlu dilaksanakan segera bagi memenuhi permintaan air yang dijangka terus meningkat,” katanya semasa menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

    Selain itu, Julaihi berkata kementeriannya turut melaksanakan projek naik taraf menggantikan paip lama dan uzur di seluruh Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM1.085 bilion melalui pembiayaan alternatif yang dilaksanakan secara berfasa.

    Katanya, daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM247 juta telah diperuntukkan pada tahun ini untuk dilaksanakan segera.

    “Sepanjang 2,742 kilometer (km) saluran paip lama serta uzur masih digunakan dalam sistem agihan bekalan air di seluruh Sarawak. Ini ialah punca utama yang menyebabkan kadar Air Tidak Terhasil yang tinggi iaitu secara purata sebanyak 43 peratus,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda