Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permintaan kargo udara syarikat penerbangan Asia-Pasifik naik 6.8% pada September

    KUALA LUMPUR, 30 OKT – Syarikat penerbangan Asia-Pasifik menyaksikan permintaan kargo udara tumbuh 6.8 peratus bagi tahun ke tahun pada September 2025, demikian menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

    Dalam kenyataannya kelmarin, IATA berkata di peringkat global, permintaan itu meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun pada September yang juga bulan ketujuh berturut-turut mencatat pertumbuhan secara menyeluruh.

    “Di sebalik pertumbuhan itu adalah perubahan signifikan corak perdagangan apabila dasar tarif Amerika Syarikat (AS), termasuk berakhirnya pengecualian tertentu yang mula dikuatkuasakan. Dalam pada itu, berlaku penurunan permintaan antara Amerika Utara dan Asia dalam tempoh lima bulan lepas.

    “Bagaimanapun, ini telah diimbangi oleh pertumbuhan kukuh dalam Asia serta laluan yang menghubungkan Asia ke Eropah, Afrika dan Timur tengah,” kata Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh.

    Beliau berkata walaupun banyak pihak bimbang berlakunya kemerosotan perdagangan global, kargo udara sebaliknya terbukti dapat memenuhi permintaan pasaran yang berubah.

    Beberapa faktor telah menyumbang kepada persekitaran operasi termasuk pertumbuhan perdagangan barangan global sebanyak 3.7 peratus tahun ke tahun pada Ogos dan kenaikan harga bahan api jet sebanyak 5.4 peratus pada September walaupun harga minyak rendah, didorong oleh pasaran diesel lebih ketat. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda