PARIS, 9 OKT – Meskipun usaha semakin giat untuk mengehadkan perubahan iklim, kartel minyak OPEC berkata hari ini ia menjangka permintaan untuk minyak mentah akan terus berkembang untuk dua dekad akan datang.
Dalam laporan tahunan 2023, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum meramalkan permintaan untuk minyak mentah mencecah 116 juta tong sehari (mbd) menjelang 2045, peningkatan 16.5 peratus daripada 99.4 mbd pada 2022.
Ia adalah peningkatan sebanyak 6 mbd daripada anggarannya tahun lepas.
Permintaan minyak mempunyai ‘potensi untuk meningkat lebih tinggi’, kata ketua OPEC, Haitham Al Ghais.
“Apa yang jelas ialah dunia akan terus memerlukan lebih banyak tenaga dalam dekad akan datang,” katanya dalam laporan masa hadapan – yang keluar hanya lapan minggu sebelum persidangan iklim PBB, COP28, di Dubai.
Pada persidangan itu, berpuluh-puluh negara akan cuba mencapai objektif untuk menamatkan penggunaan bahan api fosil seperti minyak, gas asli dan arang batu.
Menurut OPEC, dengan 13 negara anggotanya termasuk Arab Saudi, negara-negara Teluk dan Venezuela, permintaan minyak akan didorong oleh negara-negara membangun dan sedang membangun, dengan India berada di senarai teratas.
Bagi memenuhi permintaan ini, OPEC berkata pelaburan tambahan dalam pengeluaran bahan api fosil akan diperlukan, meletakkan angka itu pada AS$14 trilion menjelang 2045, atau kira-kira AS$610 bilion setahun. – AP


