HONG KONG, 3 MEI – Gelombang haba melampau membelenggu sebahagian Asia, sekali gus membantu menjana permintaan yang meningkat terhadap pilihan penyejukan, termasuk penyaman udara.
Unit penyaman udara menjadi ciri umum landskap bandar di kebanyakan kawasan di Asia, melekap seperti siput pada blok pangsapuri yang menjulang tinggi di Hong Kong atau terletak dalam formasi silang antara tingkap bangunan di Kemboja.
Alat penyejuk itu menawarkan kelegaan daripada suhu panas yang telah memecah rekod dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan suhu di kebanyakan negara di rantau ini mencecah 40 darjah Celsius atau lebih tinggi.
Para saintis telah lama memberi amaran bahawa perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia akan menghasilkan gelombang haba yang lebih kerap, lebih lama dan lebih kuat.
Hanya 15 peratus rumah di Asia Tenggara mempunyai penyaman udara, menurut laporan 2019 oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Tetapi angka itu mewakili variasi besar, iaitu antara sekitar 80 peratus pemasangan di Singapura dan Malaysia, hingga kurang daripada 10 peratus di Indonesia dan Vietnam, kata IEA.
Ramalan mencadangkan bahawa suhu yang lebih tinggi dan gaji yang lebih baik boleh menyaksikan bilangan unit penyaman udara di Asia Tenggara melonjak daripada 40 juta pada 2017 kepada 300 juta menjelang 2040.
Ia akan membebankan kapasiti elektrik tempatan, yang sudah bergelut dalam keadaan semasa.
Myanmar hanya mengeluarkan kira-kira separuh daripada tenaga elektrik yang diperlukan setiap hari, dengan junta menyalahkan hidrokuasa yang lemah kerana hujan yang sedikit, hasil gas asli yang rendah serta serangan ke atas infrastruktur.
Thailand telah menyaksikan permintaan tenaga elektrik yang tertinggi dalam beberapa minggu kebelakangan ini, apabila orang ramai berlindung di dalam rumah.
Penghawa dingin melepaskan kira-kira satu bilion tan metrik karbon dioksida setahun, menurut IEA, daripada jumlah 37 bilion yang dikeluarkan di seluruh dunia. – AFP