Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa permohonan Skim Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Luar Negeri bagi Ijazah Sarjana dan Ikhtisas Sesi Akademik 2025 / 2026 akan bermula pada 2 Januari, pukul 8:30 pagi dan akan ditutup pada 27 Februari, pukul 4 petang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, pemohon yang ingin memohon biasiswa untuk ijazah sarjana dan ikhtisas adalah dikehendaki menghadapkan borang permohonan (softcopy) melalui e-mel, applyscholarship@moe.gov.bn di samping menghadapkan dokumen yang berkaitan termasuk borang permohonan (hardcopy) ke Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kaunter 3, Pusat Perkhidmatan Setempat, Blok C, Aras Bawah, Kementerian Pendidikan sebelum atau tidak lewat dari tarikh tutup permohonan iaitu pada 27 Februari.
Borang permohonan boleh didapati melalui laman sesawang, Kementerian Pendidikan, www.moe.gov.bn.
Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara itu boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan melalui talian 2380019 pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 7:45 pagi hingga 12:15 tengah hari dan dari pukul 1:30 petang hingga 4:30 petang atau e-mel, applyscholarship@moe.gov.bn, scholarship@moe.gov.bn.