Wednesday, February 26, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permohonan biasiswa Skim BPTV dibukakan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Permohonan bagi Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional (BPTV) bagi Sesi Akademik 2025/2026 khusus bagi pelajar lepasan sekolah di peringkat O yang layak untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi swasta dalam negeri kini akan mula dibukakan pada 26 Februari, jam 8:30 pagi dan akan ditutup pada 10 April, jam 4 petang.

    Surat Pemberitahuan Bilangan 4/2025 dan borang permohonan Skim BPTV (BPTV/A1) boleh didapati dari laman web rasmi Kementerian Pendidikan, www.moe.gov.bn dan borang-borang yang telah lengkap diisi berserta dokumen-dokumen yang diperlukan hendaklah dihantar melalui tatacara yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan tidak lewat 10 April, jam 4 petang.

    Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Biasiswa sukacita memaklumkan bahawa skim ini disediakan oleh pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memenuhi permintaan yang sentiasa meningkat khususnya dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional di negara ini.

    Dengan adanya skim ini, ianya dapat memberi peluang pelajar lepasan sekolah di peringkat O untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai khususnya penuntut-penuntut lepasan sekolah di peringkat O yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, adalah dialu-alukan untuk memohon bagi mendapatkan biasiswa Skim BPTV.

    Bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara berkenaan, para pemohon yang berminat bolehlah menghubungi Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan di talian 2380019 (Isnin hingga Khamis dan Sabtu 7:45 pagi 12:15 tengah hari dan 1:30 petang 4:30 petang) dan semasa bulan Ramadan dari 8 pagi – 2 petang atau e-mel ke bptv@moe.gov.bn dan localscholarship@moe.gov.bn

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda