Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengajian Tinggi memaklumkan bahawa permohonan HECAS 2021 secara dalam talian (Pusingan Kedua) bagi kemasukan ke institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan di tutup secara rasmi pada 7 September ini, pukul 3 petang.
IPTA yang dimaksudkan adalah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Politeknik Brunei (PB).
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan mengingatkan para pemohon untuk memastikan permohonan HECAS dihadapkan secara dalam talian serta memuat naik dokumen-dokumen yang berkaitan termasuk borang HECAS seperti yang diperlukan oleh IPTA berkenaan sebelum tarikh tutup permohonan.
Selain itu, pemohon hendaklah membuat pembayaran yang tertunggak secara dalam talian melalui aplikasi BIBD Mobile sebelum 7 September pada pukul 11 malam.
Permohonan dan pembayaran yang dibuat selepas tarikh atau masa yang ditetapkan tidak akan diterima dan pembayaran tidak akan dikembalikan.
Manakala itu, bagi pemohon yang belum mendapat keputusan terakhir peperiksaan peringkat ‘O’ atau ‘A’ bagi Mei/Jun 2021, pemohon bolehlah menghubungi Pentadbiran HECAS melalui e-mel ask.hecas@moe.gov.bn; atau membuat temu janji dengan Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan melalui pautan https://examinationsdepartmentmoe.setmore.com.
Untuk pertanyaan atau jika mengalami sebarang isu teknikal, para pemohon boleh menghubungi Pentadbiran HECAS melalui e-mel ask.hecas@moe.gov.bn.