Saturday, July 6, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Permohonan Najib Razak ditahan di rumah ditolak

    KUALA LUMPUR, 3 JULAI – Mahkamah Malaysia hari ini telah menolak permohonan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah penahanan dalam rumah.

    Dalam permohonan yang dibuat pada April lalu, Najib mendakwa mempunyai maklumat jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengeluarkan perintah tambahan yang membenarkan beliau menghabiskan hukuman di bawah penahanan dalam rumah.

    Najib mendakwa perintah tambahan itu dikeluarkan semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Sultan Abdullah pada 29 Januari, yang juga mengurangkan hukuman penjara 12 tahun kepada separuh dan mengurangkan denda.

    Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menyatakan kekecewaannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan kerajaan ‘tiada kewajipan undang-undang’ untuk mengesahkan kewujudan perintah tersebut. Beliau berkata mereka akan memfailkan rayuan.

    “Mahkamah berkata tiada kewajipan undang-undang tetapi dari segi etika, kerajaan sepatutnya memberikan jawapan,” kata Shafee kepada pemberita di luar bangunan mahkamah.

    Dalam permohonannya, Najib menuduh Lembaga Pengampunan, Menteri Dalam Negeri, Peguam Negara dan empat yang lain menyembunyikan perintah Sultan ‘dengan niat jahat’.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa beliau tidak mengetahui tentang perintah tersebut kerana beliau bukan anggota Lembaga Pengampunan.

    Bagaimanapun, pihak lain yang dinamakan dalam permohonan Najib belum memberikan sebarang komen. – AP

    Najib tiba di kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sambil diiringi pegawai penjara di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 4 April. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...