Oleh Sim Y. H. dan Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Bagi permohonan pemecahan tanah, statistik bagi seluruh negara pada masa ini, menunjukkan pencapaian Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) bagi 2016 di mana bagi peringkat pertama iaitu mengeluarkan sijil pengesahan menunjukkan sebanyak 88 peratus permohonan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja dan pada peringkat kedua iaitu mengeluarkan surat kebenaran menunjukkan 92 peratus diproses dalam tempoh empat hari bekerja.
“Proses pemecahan tanah sememangnya memerlukan jalan masuk sekiranya tidak ada jalan masuk tetapi boleh melalui tanah kerajaan, boleh dipohonkan menerusi Jabatan Tanah dan sekiranya tanah tersebut adalah land locked bererti tidak ada tanah kerajaan yang dapat dipohon untuk digunakan sebagai jalan masuk disebabkan oleh dikelilingi oleh tanah-tanah persendirian, kebenaran daripada pihak pemilik-pemilik persendirian itu, perlu diperoleh,” jelas Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah
Yang Berhormat Dato mengulas perkara ini ketika menjawab isu mengenai permohonan pecah tanah yang dan bangun rumah yang memakan masa yang agak lama disebabkan tidak ada jalan akses atau masuk yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.
Menurutnya, bagi permohonan membina bangunan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa berperanan mengeluarkan surat kebenaran perancangan manakala itu, Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Binaan (ABCi) berperanan mengeluarkan kebenaran kemajuan.
“TPOR bagi Jabatan Perancang Bandar dan Desa ialah 14 hari kalendar manakala TPOR bagi ABCi juga ialah 14 hari.”
Ulasnya, “Daripada segi statistik Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Daerah Brunei dan Muara pada masa ini, menunjukkan pencapaian 72 peratus menepati TPOR bagi 2016 dan 100 peratus bagi daerah-daerah lain. Sementara itu, pencapaian di ABCi ialah 96 peratus untuk mengeluarkan kebenaran kemajuan dan 84 peratus bagi mengeluarkan Occupation Permit.”