Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Permohonan bekas anggota polis di Mahkamah Tinggi untuk pengurangan hukuman telah ditolak hari ini oleh Ketua Hakim Negara yang tidak melihat kes yang boleh dipertikaikan.
Sahlan bin Haji Mat Sahat telah menipu dua orang dan mencuba menipu seseorang serta dia juga memandu keretanya dengan lesen kenderaan tamat tempoh empat kali.
Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas menjalani perbicaraan atas dua pertuduhan menipu dan satu percubaan menipu.
Dia juga diperintahkan untuk membayar ganti rugi kepada dua mangsa sejumlah $150, atau akan menjalani hukuman penjara seminggu lagi sebagai tambahan.
Hukuman itu dijatuhkan kepada Sahlan setelah disabitkan kesalahan selepas menjalani perbicaraan pada 20 Januari.

Permulaan kes pada bulan Disember 2020, Sahlan mengaku bersalah atas empat pertuduhan memandu kereta dengan lesen kenderaan tamat tempoh.
Untuk ini dia diperintahkan untuk menyelesaikan denda sebanyak $400, atau menjalani hukuman penjara selama empat minggu jika gagal membayar.
Dalam ringkasan kes yang dikemukakan oleh responden, Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff, bahawa pendakwaan terhadap Sahlan yang merupakan bekas Lans Koperal di Pasukan Polis Diraja Brunei apabila seorang wanita warga asing membuat aduan kepada Biro Mencegah Rasuah tentang kejadian yang berlaku pada 27 April 2015 di Jalan Kilanas.
Mangsa berkata dia telah diberhentikan oleh Sahlan dan diberitahu bahawa batu telah terbang dari tayar kereta mangsa, dan memecahkan cermin kereta Sahlan.
Sahlan meminta mangsa membayar ganti rugi sebanyak $400 dan turut memberitahu mangsa bahawa dia seorang anggota polis.
Selepas berunding, mangsa bersetuju memberi Sahlan $50, yang ditekannya bukan rasuah.
Dapatan Biro Mencegah Rasuah (BMR) mendedahkan lagi bahawa Sahlan telah menipu mangsa lain dalam modus operandi yang sama.
Kesemua kesalahan yang berlaku dilakukan pada tarikh, masa dan tempat berbeza di Jalan Belimbing, Jalan Batu Bersurat dan Jalan Kilanas anta-ra April dan Mei 2015 yang mana mangsa-mangsanya terdiri daripada penduduk tetap, warga Malaysia dan warga Thailand.
BMR juga mendedahkan bahawa Sahlan telah memandu kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh semasa semua insiden penipuan.
“Kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap polis boleh terhakis sekiranya perbuatan jenayah anggotanya dibiarkan begitu sahaja. Pencegahan mesti menjadi pertimbangan utama dalam menjatuhkan hukuman dan hukuman berat yang dikenakan demi kepentingan awam,” kata Ketua Hakim Negara yang menolak permohonan Sahlan.

