Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Mahkamah Rayuan telah mengubah keputusan Mahkamah Tinggi terhadap kes tuntutan fitnah yang diputuskan pada 24 Jun lalu di mana Hakim Michael Peter Burrell mendengar permohonan tersebut pada 15 Jun yang dikemukakan oleh perayu Mahadeer Mohamed dan syarikat Nasreen Jaya Sdn Bhd.
Rayuan itu adalah terhadap responden Ubayathullah Haja Mohideen, Zainah binti Haji Muhammad, Awangku Muhammad Dinie Hazwan bin Pengiran Haji Sahari dan syarikat Sri Azlina Sdn Bhd.
Pertikaian itu berpunca di antara perayu dan responden berkaitan pemilikan dan pengurusan premis Nasreen Jaya di Brunei.
Mahadeer mendakwa sepanjang tempoh dia kembali ke India pada 2017, dia dihalang daripada kembali ke Brunei dengan cara pemalsuan dan penipuan, menyebabkan penglibatannya dalam perniagaan telah dihapuskan dan mengalami kerugian kewangan dan ditimpa kesusahan.
Tindakan itu sebelum ini telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2022 yang memutuskan bahawa laporan polis yang dibuat oleh Zainah dilindungi oleh keistimewaan mutlak dan dengan itu tidak mendedahkan sebab tindakan yang munasabah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu, dengan menyebut ‘sama ada atau tidak dokumen dilindungi oleh keistimewaan, mutlak atau layak, akan bergantung pada keadaan tertentu pembuatannya’.
Sementara itu, Mahkamah Rayuan, di mana Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Steven Chong dan Hakim Conrad Seagroatt bersidang bersama Hakim Burrell, memutuskan bahawa “keistimewaan mutlak biasanya sesuai di mana kenyataan yang dibuat adalah sebahagian daripada penyiasatan terhadap jenayah tertentu yang bertujuan, akhirnya, membawa kepada penahanan”.
Mahkamah menambah ‘berdasarkan konteks kenyataan oleh (Zainah), ia adalah “salah satu siri dakwaan yang dibuat oleh responden bertujuan untuk menipu perayu tentang mata pencariannya’ dan penyataan adalah sebahagian daripada matriks fakta yang tidak dilindungi keistimewaan, mutlak atau sebaliknya dan merupakan perkara yang perlu dipertimbangkan oleh hakim apabila mendengar keseluruhan keterangan.
Mahkamah Rayuan juga tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa tindakan yang dikemukakan oleh Nasreen Jaya terhadap Ubayathullah dan Zainah (antara pihak lain) harus dikekalkan atas dasar bantahan oleh responden di mana peguam yang dilantik untuk mewakili Nasreen Jaya tidak mempunyai hak yang sewajarnya.
Mahkamah Rayuan menarik balik penangguhan itu dan membenarkan tindakan Nasreen Jaya diteruskan berikutan kejayaan permohonan perayu pada 6 Jun untuk mengemukakan bukti bahawa prosedur bagi penyingkiran pengarah Nasreen Jaya dan pelantikan peguam untuk kes ini telah dipatuhi.
Mahkamah Rayuan seterusnya menambah ‘tanpa mengira bantahan teknikal responden, keupayaan Mahadeer untuk meneruskan tindakannya, termasuk memberi keterangan bagi pihak Nasreen Jaya adalah tidak terjejas’ dan bantahan responden adalah ‘tidak perlu dan tidak wajar’.
Dalam keadaan tersebut, mahkamah yakin bahawa penangguhan tindakan kini boleh ditarik balik dan isu itu diteruskan ke perbicaraan.
Mahkamah Rayuan membuat kesimpulan dengan membenarkan permohonan itu dan memerintahkan responden membayar kos perayu.
Perayu diwakili peguam On Hung Zheng dan Andrew Jonathan Wong dari firma guaman CCW Partnership.
Manakala responden diwakili peguam Eugene Loh, Anlan Hee dan Lim Li Chyi dari Tetuan Yusof Halim and Partners.