Monday, July 14, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permohonan Program Fulbright mula dibuka

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Mereka yang berminat untuk menyertai Program Fulbright AS-ASEAN Visiting Scholar bagi Tahun Akademik 2022-2023 kini boleh memohon di mana permohonan dibuka kepada warga Brunei dan warga ASEAN lain bermula esok hingga 1 Disember 2021.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam, di sini, hari ini, program itu dibukakan kepada fakulti universiti, pegawai-pegawai kerajaan dan kementerian hal ehwal luar atau profesional dalam sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerja-kerja mereka menumpukan kepada isu-isu AS-ASEAN.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa para pemohon diharap untuk mempunyai rekod ilmiah yang signifikan atau pencapaian profesional dan warga bagi salah satu daripada 10 negara anggota ASEAN.

    Keutamaan akan diberikan kepada pemohon layak yang tidak mempunyai pengalaman terkini dan besar di AS serta pemohon juga harus menetap di dalam sebuah negara anggota ASEAN sepanjang tempoh pencalonan dan proses pemilihan.

    Biasiswa berkenaan menawarkan tiket penerbangan ulang alik ekonomi ke Amerika Syarikat, gaji bulanan dan sokongan kewangan bagi yuran makmal dan penyelidikan.

    Kenyataan menerangkan bahawa ahli ilmiah yang terpilih bagi program berkenaan akan pergi ke AS bagi tempoh tiga atau empat bulan dalam separuh pertama 2023 untuk melakukan penyelidikan profesional dan ilmiah mengenai isu-isu keutamaan kepada hubungan AS – ASEAN dan ASEAN. Pemohon yang terpilih juga akan ke ASEAN setelah menamatkan program berkenaan.

    Program berkenaan telah dilancarkan pada 2012 untuk mendalamkan lagi penglibatan penduduk-ke-penduduk dan mengukuhkan hubungan di antara AS dengan 10 buah negara anggota ASEAN.

    Mereka yang berminat dialu-alukan untuk melayari laman sesawang Kedutaan AS, bn.usembassy.gov atau e-mel kepada EmbassyBruneiPAS@state.gov bagi butiran lebih terperinci mengenai keperluan kelayakan, terma anugerah dan proses permohonan.

    Kenyataan menyatakan bahawa permohonan-permohonan hendaklah dihantar tidak lewat daripada 1 Disember 2021.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda