Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permohonan Program SEED ASEAN-Kanada kini dibuka

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Permohonan untuk Program Biasiswa dan Pertukaran Pendidikan untuk Pembangunan (SEED) ASEAN – Kanada bagi sesi akademik 2023 hingga 2024 kini dibukakan untuk pelajar Brunei dan negara anggota ASEAN lain.

    Program SEED merupakan inisiatif pertukaran pendek di bawah Program Biasiswa Antarabangsa Hal Ehwal Global Kanada.

    Suruhanjaya Tinggi Kanada di Brunei Darussalam menjelaskan, ia bertujuan untuk menyediakan peluang kepada pelajar dari negara anggota ASEAN, termasuk Brunei, untuk menjalankan kajian jangka pendek atau penyelidikan di institusi pasca menengah Kanada dalam bidang yang boleh menyumbang kepada pelaksanaan Agenda 2030 untuk pembangunan mampan.

    Pada masa ini, sembilan orang pelajar Brunei yang kesemuanya dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) melanjutkan pengajian pascasiswazah dalam bidang yang berbeza di bawah program berkenaan.

    Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie dalam kenyataan yang dikeluarkan memberi galakan kepada pelajar Brunei untuk merebut peluang belajar dan mengambil pengalaman yang ditawarkan oleh negara berkenaan.

    “Kanada mempunyai kos sara hidup yang berpatutan dengan kehidupan bertaraf dunia di bandar-bandar. Tujuh universiti Kanada berada dalam Rangking 200 Teratas The Times,” kongsinya.

    Beliau seterusnya berharap akan dapat melihat lebih ramai orang Brunei memilih Kanada untuk destinasi pengajian mereka seterusnya.

    Pelajar yang berminat untuk belajar di Kanada di bawah program berkenaan hendaklah menghubungi pejabat antarabangsa institusi pendidikan masing-masing bagi mengetahui lebih lanjut mengenai proses permohonan dan keperluan kemasukan ke institusi di negara itu dan untuk mengetahui program SEED orang ramai bolehlah layari laman sesawang https://tinyurl.com/yjy7jddb.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda