Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Kementerian Pendidikan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, memaklumkan bahawa permohonan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP) untuk sesi akademik 2020/2021 akan dibukakan esok (3 Februari) jam 8:30 pagi dan akan ditutup pada 22 Februari, pukul 10 pagi.
Kenyataan menekankan bahawa pemohon yang ingin memohon SBPP, dikehendaki untuk memohon sekurang-sekurangnya satu program yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi dalam negeri melalui sistem HECAS.
Pemohon juga adalah dikehendaki untuk menghadapkan borang permohonan (softcopy) melalui e-mel di sbpp@moe.gov.bn dan dokumen yang berkaitan termasuk borang permohonan SBPP dan HECAS (hardcopy) di Bahagian Biasiswa, Tingkat 5, Blok C sebelum atau tidak lewat dari tarikh tutup permohonan SBPP.
Kenyataan itu menerangkan bahawa untuk makluman, permohonan SBPP akan ditawarkan hanya sekali setahun.
Pemohon yang belum memperoleh keputusan rasmi dikehendaki untuk menghadapkan keputusan ramalan (predicted results) yang dikeluarkan oleh institusi.
Walau bagaimanapun, keputusan permohonan SBPP adalah tertakluk kepada keputusan rasmi yang akan diperoleh nanti.
Selepas pengumuman keputusan permohonan SBPP, pemohon yang tidak berjaya tetapi memenuhi syarat kelayakan boleh menghantar surat rayuan kepada Bahagian Biasiswa untuk dipertimbangkan.
Walau bagaimanapun, pemohon diberi masa tiga hari waktu bekerja untuk menghantar surat rayuan.
Borang permohonan berserta terma dan syarat SBPP boleh didapati melalui laman sesawang Kementerian Pendidikan di http://www.moe.gov.bn/SitePages/DocumentDownloads.aspx.
Pemohon boleh merujuk pada ‘garis panduan’ bagi prosedur permohonan. Sebarang pertanyaan, hubungi Urusetia SBPP melalui e-mel di sbpp@moe.gov.bn atau hubu-ngi terus di talian 2380019 semasa waktu pejabat.