Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Platform dalam talian bagi permohonan sijil halal yang bakal dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) antara lain bertujuan bagi kemudahan-kemudahan prosedur operasi (SOP) yang jelas mengenai keperluan untuk orang ramai khususnya mereka yang ingin mendapatkan sijil halal.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bagi menjawab persoalan yang disuarakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berkaitan rancangan perlaksanaan platform berkenaan dan SOP yang digunakan oleh KHEU untuk mengesahkan mahu pun membuat kerja-kerja audit bagi penyaji-penyaji makanan halal di negara ini, pada Persidangan MMN ke-20 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Jelas Yang Berhormat Pehin lagi, apa yang menjadi kepentingan pihak kementerian menerusi platform dalam talian berkenaan ialah untuk memastikan bahagian yang menguruskan pemakanan halal akan lebih berinisiatif menjalankan tugas-tugas mereka sebagaimana yang diharapkan seperti menangani masalah kelambatan proses permohonan mahupun pembaharuan permohonan.



