Wednesday, January 29, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permohonan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan mula dibukakan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Orang ramai yang berminat khususnya para pelajar yang ingin melanjutkan pengajian adalah dialu-alukan untuk memohon bagi mendapatkan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP) bagi sesi akademik 2024/2025 di mana permohonan bagi skim berkenaan dibukakan bermula 8:30 pagi esok hingga 4 petang 29 Februari.

    Menurut kenyataan yang dike-luarkan oleh Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan, di sini, pemohon yang berminat dikehendaki untuk memohon sekurang-sekurangnya satu program yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam dalam negara melalui sistem Higher Education Centralised Admission System (HECAS).

    Pemohon juga dikehendaki untuk menghadapkan borang permohonan (softcopy) melalui e-mel sbpp@moe.gov.bn di samping menghadapkan dokumen yang berkaitan termasuk borang permohonan SBPP dan HECAS (hardcopy) ke Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kaunter 3, Pusat Perkhidmatan Setempat, Blok C, Lantai Dasar, Kementerian Pendidikan sebelum atau tidak lewat dari tarikh tutup permohonan SBPP.

    Permohonan SBPP hanya akan ditawarkan sekali setahun sahaja dan pemohon yang belum memperoleh keputusan rasmi adalah dikehendaki untuk menghadapkan keputusan ramalan (predicted results) yang dikeluarkan oleh sekolah atau institusi masing-masing.

    Walau bagaimanapun, keputusan permohonan SBPP adalah tertakluk kepada keputusan rasmi yang akan diperolehi nanti.

    Selepas pengumuman keputusan permohonan SBPP, pemohon yang tidak berjaya tetapi memenuhi syarat kelayakan bolehlah menghadapkan surat rayuan ke Jabatan Pengurusan Biasiswa untuk dipertimbangkan.

    Walau bagaimanapun, pemohon diberi masa tiga hari waktu bekerja sahaja untuk menghadapkan surat rayuan berkenaan.

    Borang permohonan berserta terma dan syarat SBPP boleh dida-patkan melalui laman sesawang Kementerian Pendidikan, www.moe.gov.bn. Pemohon bolehlah merujuk kepada dokumen garis panduan bagi prosedur permohonan.

    Bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara itu, boleh hubungi Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan di talian 2380019 pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 7:45 pagi hingga 12:15 tengah hari dan 1:30 petang hingga 4:30 petang atau e-mel kepada sbpp@moe.gov.bn dan scholarship@moe.gov.bn.

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda