BRUSSELS, 3 MAC – Jumlah permohonan suaka di Kesatuan Eropah (EU), Norway dan Switzerland menurun kira-kira 11 peratus tahun lepas, menurut Agensi Suaka Kesatuan Eropah (EUAA) yang berpangkalan di Malta, seperti dilaporkan oleh agensi berita Jerman dpa.
Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, agensi itu melaporkan, kira-kira 1.01 juta permohonan suaka difailkan pada 2024.
Itu adalah penurunan sedikit berbanding angka 2023 sebanyak 1.14 juta, menurut EUAA.
Warga Syria memfailkan permohonan yang berkurangan sedikit berbanding tahun sebelumnya, tetapi masih merupakan kumpulan yang paling banyak memohon perlindungan.
Walaupun trend menurun, Jerman masih menerima permohonan terbanyak dengan 237,000, mewakili 23 peratus daripada semua permohonan yang difailkan. Hampir satu pertiga daripada semua permohonan di Jerman difailkan oleh warganegara Syria, diikuti oleh warganegara Afghanistan dan Turkiye, menurut laporan itu.
Cyprus dan Greece menerima permohonan per kapita terbanyak. Pada akhir 2024, terdapat kira-kira 4.4 juta penerima perlindungan sementara di 27 negara anggota EU serta di Norway dan Switzerland yang melarikan diri dari Ukraine berikutan pencerobohan berskala penuh Rusia terhadap jirannya.
Separuh daripadanya berada di Jerman dan Poland, tetapi Republik Czech menjadi tuan rumah kepada penerima per kapita terbanyak, menurut EUAA. – Bernama
