Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Orang ramai yang ingin memohon tambang kurnia bagi menunaikan fardu haji tahun 1443H/2022M, masih boleh berbuat demikian bermula hari ini.
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), menerusi Jabatan Urusan Haji dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini menjelaskan, mana-mana pegawai dan kakitangan kerajaan sama ada yang sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara, boleh membuat permohonan bagi mendapatkan pengurniaan tambang menunaikan ibadah tersebut.
Permohonan hendaklah sampai ke jabatan tersebut sebelum 5 Februari 2022 dan hendaklah dihadapkan ke jabatan itu melalui ketua jabatan masing-masing sebelum tarikh tersebut.
Borang permohonan bolehlah dimuat turun melalui laman sesawang Jabatan Urusan Haji, KHEU.