Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permohonan tambang haji dibukakan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menerusi Jabatan Urusan Haji memaklumkan para pegawai dan kakitangan kerajaan, sama ada yang sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara, bahawa permohonan kurnia tambang menunaikan fardu haji bagi musim haji tahun 1444 Hijrah/2023 Masihi telah dibukakan bermula hari ini (29 Disember).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Urusan Haji, KHEU, hari ini, semua permohonan hendaklah diserahkan ke jabatan berkenaan tidak lewat pada 28 Januari 2023.

    Dalam pada itu, permohonan berkenaan hendaklah dihadapkan ke Jabatan Urusan Haji melalui ketua jabatan masing-masing sebelum tarikh tersebut.

    Oleh yang demikian, para pegawai dan kakitangan kerajaan yang berhasrat untuk memohon bolehlah mengambil borang permohonan kurnia tambang berkenaan pada hari-hari bekerja, bermula 8:30 pagi hingga 11:30 pagi; dan 2 petang hingga 3:30 petang di tempat-tempat yang ditetapkan iaitu Ruang Legar, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan, KHEU, Jalan Dewan Majlis, Berakas; dan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Tutong dan Temburong.

    Borang permohonan juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang Jabatan Urusan Haji di www.juh.gov.bn. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, hubungi jabatan berkenaan di talian 2382301 sambungan 283.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda