Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permulaan cemerlang buat Nistelrooy

    MANCHESTER, 31 OKT – Ruud van Nistelrooy menikmati kemenangan pertamanya sebagai pengurus interim Manchester United dengan menewaskan Leicester 5-2, sekali gus memastikan slot di suku akhir Piala Liga Inggeris awal pagi tadi, manakala Manchester City tersingkir selepas tewas 2-1 kepada Tottenham.

    Arsenal dan Liverpool turut mengesahkan tempat mereka dalam lapan terbaik, namun Chelsea mengalami kekalahan 2-0 di tangan Newcastle.

    Van Nistelrooy, yang terkenal sebagai legenda United sewaktu menjadi pemain, dilantik sebagai pengurus sementara selepas Red Devils memecat Erik ten Hag pada Isnin, berikutan prestasi hambar awal musim ini.

    Jurulatih Sporting Lisbon, Ruben Amorim, kini dilaporkan menjadi calon pilihan utama United untuk mengambil alih jawatan tersebut, namun masih berunding dengan juara Portugal itu bagi mendapatkan persetujuan pampasan buat jurulatih berusia 39 tahun tersebut.

    Menurut laporan di Portugal, Amorim dijangka akan kekal bersama Sporting untuk tiga perlawanan lagi sebelum menyertai United pada rehat antarabangsa bulan November.

    Casemiro ketika meraikan gol keempat pasukannya di Stadium Old Trafford, Manchester, England, baru-baru ini. – AP

    “Saya datang sebagai pembantu untuk membantu kelab. Saya di sini untuk memberi sokongan selama yang diperlukan dan pada masa depan, dalam apa jua peranan, saya sentiasa sedia membantu kelab ini membina masa depan yang lebih baik,” kata Van Nistelrooy.

    “Tindak balas pemain malam ini sangat baik. Mereka berhak mendapat pujian atas kemenangan ini dan saya gembira penonton dapat menikmati malam bola sepak yang hebat,” tambahnya.

    Sebelum perlawanan, Van Nistelrooy menyatakan bahawa United ‘boleh menjadi pasukan yang lebih hebat’ apabila pemain, kakitangan dan penyokong bersatu. Pasukan itu membuktikannya dengan empat jaringan menarik dalam separuh masa pertama perlawanan.

    Casemiro membuka jaringan dengan rembatan kencang ke penjuru atas, diikuti gol Alejandro Garnacho yang memanfaatkan hantaran silang Diogo Dalot, menyaksikan Van Nistelrooy gembira di tepi padang.

    Bilal El Khannouss segera membalas satu gol untuk Leicester yang membuat banyak perubahan dalam kesebelasan utamanya. Sepakan percuma Bruno Fernandes yang melencong mengembalikan kelebihan dua gol untuk United sebelum Casemiro menjaringkan gol ketiganya dalam dua perlawanan.

    Conor Coady menambah satu lagi gol saguhati buat Leicester, namun United berjaya mempertahankan kemenangan kedua mereka dalam sembilan perlawanan.

    Fernandes menyempurnakan malam cemerlang United dengan menyambar hantaran belakang, melepasi penjaga gol Danny Ward dan meledak gol terakhir buat pasukan.

    United kini bakal berdepan Tottenham di suku akhir selepas Spurs menyingkirkan City yang beraksi tanpa penyerang bintang mereka, Erling Haaland. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda