Tuesday, December 31, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permulaan sempurna Heynckes, Bayern

    BERLIN, 15 Okt – Jupp Heynckes membuat permulaan sempurna bagi kendaliaan keempatnya sebagai jurulatih Bayern Munich dengan kemenangan 5-0 ke atas Freiburg di Allianz Arena semalam, dengan kelebihan Borussia Dortmund dalam Bundesliga dikurangkan selepas kekalahan 3-2 di gelanggang sendiri kepada RB Leipzig.

    Satu gol sendiri daripada Julian Schuster telah memberikan Bayern pendahuluan pada minit ketujuh, dan satu tandukan menerusi Kingsley Coman menggandakan kelebihan Bayern sebelum separuh masa.

    “Kami mahu menunjukkan apa yang kami mampu lakukan dengan segera,” kata Thomas Mueller kepada Sky Sports. “Akan terdapat ramai orang yang akan memberikan kami pujian dalam beberapa hari akan datang, tetapi kami juga perlu terus bekerja keras.”

    Satu rembatan kemas Thiago Alcantara telah menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-63, tidak lama selepas mereka dinafikan satu penalti oleh VAR. Dua gol seterusnya dijaringkan oleh Robert Lewandowski dan Joshua Kimmich bagi melengkapkan kemenangan besar itu.

    “Pasukan bermain dengan sangat hebat, kami selayaknya meraih kemenangan,” kata Thiago.

    Bintang penyerang Bayern, Robert Lewandowski (kiri) bersaing merebut bola dengan pemain Freiburg dalam aksi Bundesliga yang berkesudahan Bayern menang 5-0. – AP

    Kemenangan itu menyaksikan Bayern melonjak dua mata di belakang Dortmund di persada liga, selepas pendahulu liga itu mengalami kekalahan pertama musim ini kepada RB Leipzig.

    Satu kesilapan daripada Stefan Ilsanker membolehkan Pierre-Emerick Aubameyang memberikan Dortmund pendahuluan pada minit keempat, sebelum gol-gol daripada

    Marcel Sabitzer dan Yussuf Poulsen menterbalikkan perlawanan untuk berpihak kepada Leipzig.

    “Ia adalah perlawanan yang sangat ‘panas’,” kata pemain tengan Dortmund, Gonzalo Castro.

    “Kami cuai di separuh masa pertama, dua gol dibolosi dengan sangat mudah.”

    Dortmund kemudian dikurangkan kepada 10 pemain selepas rehat apabila Sokratis Papstathopoulos mengasari Jean-Kevin Augustin di dalam petak, dan pemain Perancis itu kemudian menyempurnakan penalti tersebut.

    Aubameyang kemudian mengurangkan defisit satu gol menerusi satu penalti pada minit ke-62, yang mana sebelum itu perlawanan menyaksikan Ilsanker dilayangkan kad kuning kedua.

    Andriy Yarmolenko nyaris menjaringkan gol penyamaan di masa kecederaan, tetapi Leipzig bertahan untuk meraih tiga mata dan menamatkan 41 perlawanan tanpa kalah Dortmund di Signal Iduna Park. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda