Thursday, December 19, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permulaan yang positif

    Oleh Fadhil Yunus

    Gambar oleh Infofoto

    MANILA, FILIPINA, 24 NOV – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah beraksi cemerlang apabila berjaya menjulang pasukan polo negara dengan kemenangan 8.5-8 ke atas Filipina pada Kejohanan Polo Sukan Asia Tenggara (SEA) di Inigo Zobel Polo Facility, Calatagan, Batangas, hari ini.

    Turut berangkat menyaksikan kejohanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ketika ditemu bual oleh media Filipina bersabda bahawa Filipina merupakan sebuah pasukan yang sangat kompetitif dan mereka juga merupakan pemain yang sangat baik.

    Dalam pasukan polo negara, Duli Yang Teramat Mulia telah digandingkan bersama YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah di bawah satu pasukan, di mana menurut Duli Yang Teramat Mulia, mereka berdua merupakan pemain yang sudah lama beraksi bersama dalam sebuah pasukan.

    Duli Yang Teramat Mulia turut mengongsikan pengalaman pasukan itu yang telah menyertai pelbagai perlawanan di bawah satu pasukan sejak penyertaan Kejohanan Sukan SEA, di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi ketika berkenan menyaksikan kejohanan tersebut.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ketika beraksi semasa perlawanan tersebut.
    Aksi YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah semasa perlawanan tersebut.

    “Mudah-mudahan kami dapat melakukan yang lebih baik berbanding dengan kejohanan yang lalu,” tambah Duli Yang Teramat Mulia yang meraih pingat gangsa pada kejohanan lalu di Malaysia.

    Walaupun Duli Yang Teramat Mulia merupakan pemain yang tidak asing lagi dalam kejohanan polo di Manila, tetapi penyertaan Duli Yang Teramat Mulia pada Kejohanan Sukan SEA di Calatagan ini merupakan kali pertama.

    Pasukan kebangsaan akan meneruskan kempen mere-ka di Divisyen A menentang Indonesia pada 26 November sebelum menamatkan perlawanan menentang Malaysia pada 28 November.

    Dua negara teratas dalam Divisyen A akan meneruskan perlawanan bagi meraih pingat emas, manakala negara tempat ketiga dan keempat akan berentap bagi merebut pingat gangsa.

    Acara polo merupakan sukan pertama yang akan dipertandingkan di Kejohanan Sukan SEA itu nanti dengan upacara pembukaan dijadualkan pada 30 November ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda