“Siapa kata anak guru agama tidak dikecam?,” kata penyanyi Wani Syaz, 21, yang pernah menjadi mangsa kecaman warganet tahun lalu.
Dia dikecam gara-gara penampilannya menari dalam video muzik lagu Pendusta Cinta, duet bersama W.A.R.I.S, tahun lalu. Menurut Wani yang tampil dengan lagu baharu Gemala, dia suka menari tetapi masih menjaga batas dalam pergerakan.
“Walaupun nampak saya seperti bebas daripada cerita sensasi dan kecaman warganet, namun saya pernah melaluinya. Pembabitan menari dalam video muzik lagu Pendusta Cinta tahun lalu, pengalaman tidak akan saya lupakan,” katanya.
Meskipun tarian Wani dalam video muzik lagu Pendusta Cinta dikecam, namun jumlah tontonan di YouTube mencatat 24 juta dalam tempoh setahun. Menurut Wani atau nama sebenar Nur Syazwani Selamat, dia tidak melatah dan dapat menerimanya dengan tenang.
Baginya, ia hanya sekadar teguran meskipun dikecam dan selagi tidak melampaui batas, dia biarkan saja. “Untuk video muzik lagu Gemala pun saya menari juga. Nampaknya, penerimaan penonton kali ini agak baik. Lagi pun, saya tetap menjaga batas dalam tarian dipersembahkan. Begitu juga dengan pakaian digayakan. Sebagai gadis bertudung, saya juga tidak keterlaluan pada aksi tarian dipersembahkan,” katanya. – Agensi
