Tuesday, November 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perniagaan Australia diwajibkan terima bayaran tunai

    CANBERRA, 18 NOV – Perniagaan di Australia akan diwajibkan menerima bayaran secara tunai bagi barangan dan perkhidmatan penting di bawah mandat kerajaan, lapor Xinhua.

    Bendahari Jim Chalmers dan Penolong Bendahari Stephen Jones hari ini mengumumkan bahawa mulai 2026, perniagaan akan diwajibkan secara undang-undang untuk menerima wang tunai dan syiling apabila menjual barangan keperluan, termasuk barangan runcit dan bahan api.

    “Orang ramai semakin menggunakan kaedah pembayaran digital, tetapi wang tunai masih mempunyai tempat dalam masyarakat kita,” kata Chalmers dan Jones dalam kenyataan bersama.

    “Mewajibkan penggunaan wang tunai untuk pembelian penting, seperti barangan runcit dan bahan api, memastikan mereka yang bergantung kepada wang tunai tidak ketinggalan.

    Bagi kebanyakan rakyat Australia, wang tunai adalah lebih daripada sekadar kaedah pembayaran, ia adalah talian hayat.”

    Gambar Freepik

    Penggunaan wang tunai di Australia menurun semasa pandemik COVID-19. Data daripada bank pusat, Reserve Bank of Australia (RBA), menunjukkan wang tunai menyumbang 13 peratus daripada semua pembayaran pengguna pada 2022, berbanding lebih 20 peratus pada 2019.

    Menurut kerajaan, 94 peratus perniagaan di Australia masih menerima wang tunai dan 1.5 juta rakyat Australia menggunakan wang tunai untuk lebih 80 peratus pembelian mereka.

    Di bawah undang-undang semasa, perniagaan tidak diwajibkan menerima wang tunai tetapi, jika tidak, mereka mesti menawarkan kaedah pembayaran alternatif tanpa bayaran untuk pelanggan.

    Chalmers dan Jones berkata bahawa Perbendaharaan akan menjalankan perundingan untuk menentukan apa yang akan diklasifikasikan sebagai barangan dan perkhidmatan penting serta perniagaan mana yang diwajibkan menerima wang tunai, dengan beberapa perniagaan kecil dikecualikan daripada mandat itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda