Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perniagaan berperanan pacu kemapanan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Perniagaan mempunyai peranan yang amat penting dalam memacu kemapanan, ini kerana sebagai enjin ekonomi, perniagaan mempunyai impak yang ketara kepada perkembangan kita menuju ke arah masa depan yang mampan.
     
    Sama ada melalui menerima pakai amalan-amalan bertanggungjawab untuk mengurangkan sisa buangan dan pelepasan atau memanfaatkan kemajuan teknologi bagi menangani cabaran-cabaran alam sekitar, sektor swasta adalah amat mustahak bagi masa depan yang mampan.
     
    Penekanan itu dibuat dalam ucaptama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang dibacakan oleh Setiausaha Tetap (Wawasan), JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad semasa Forum Masa Depan Mampan, Mission Possible: Game Changing Ideas for a Sustainable Future, yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
     
    Dalam ucaptama itu, Yang Berhormat Dato menyatakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah menyaksikan pengiktirafan yang semakin bertambah kepada kemampanan dalam komuniti perniagaan.
     
    Justeru itu amat menggalakkan apabila menyaksikan bahawa usaha dilaksanakan dalam kalangan komuniti perniagaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai SDGs dan prinsip utamanya.
     
    Pengiran Hajah Siti Nirmala membacakan ucaptama Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew pada forum tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara panel yang mengambil bahagian dalam sesi perbincangan.– GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir pada forum itu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Dalam hubungan itu, Bengkel Kesedaran Alam Sekitar, Sosial dan Urus tadbir (ESG) bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) pada tahun ini merupakan contoh kesedaran yang meningkat itu.
     
    Bengkel itu melengkapkan PMKS dengan ilmu pengetahuan dan peralatan yang diperlukan untuk menyelaraskan amalan perniagaan mereka dengan prinsip kemapanan. Inisiatif-inisiatif seumpama itu adalah amat mustahak kerana ia merupakan langkah penting ke hadapan dalam perjalanan kita menuju ke arah masa depan mampan.
     
    “Saya percaya bahawa prinsip ESG adalah asas dalam membentuk masa depan ini. Prinsip ini bukan sahaja menangani perlindungan alam sekitar, tetapi juga memastikan tadbir urus beretika dan amalan perniagaan yang adil,” katanya.
     
    Beliau menambah dengan mengguna pakai prinsip berkenaan, ia menggalakkan perniagaan melihat pada inovasi bagi mencari penyelesaian yang boleh memanfaatkan planet dan juga keuntungan mereka.
     
    Bagi mencapai matlamat masa depan mampan memerlukan pendekatan senegara, ulasnya, di mana setiap sektor masyarakat iaitu kerajaan, perniagaan, masyarakat dan individu harus bekerjasama ke arah matlamat yang sama.
     
    Pada masa yang sama, masyarakat dan individu mempunyai peranan penting di mana kemampanan merupakan tanggungjawab semua dan setiap tindakan diambil adalah amat bermakna.
     
    “Sama ada melalui pengurangan jejak karbon kita, menyokong perniagaan yang mampan atau menyokong perlindungan alam sekitar yang lebih kukuh, setiap orang mempunyai peranan untuk mencipta masa depan yang mampan,” tambah beliau.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda