Perniagaan bukan penerbangan sumbang 60 peratus perolehan

KUALA LUMPUR, 6 DIS –  AirAsia Group Bhd menjangkakan perniagaan bukan penerbangannya menyumbang 60 peratus kepada perolehan daripada kira-kira 20 peratus ketika ini dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan Tan Sri Tony Fernandes hari ini.

Syarikat tambang rendah itu mempelbagaikan perniagaannya dalam teknologi kewangan, dengan ewallet bersama kad kredit BigPay, industri makanan dan minuman dengan pembukaan restorannya baharu, Santan, diikuti penglibatannya dalam industri muzik dengan pelancaran label rekodnya, RedRecords, hari ini.

“Dalam kami meraikan 18 tahun operasi AirAsia, kami memberi tumpuan kepada mengubah syarikat penerbangan ini menjadi peneraju pengembaraan digital global dan gaya hidup.

“Kini kami kembali ke bidang muzik untuk merevolusikan masa depan budaya pop Asia dan membawanya ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan usaha sama antara AirAsia Group dan Universal Music Group (UMG) untuk menubuhkan RedRecords, di sini. Setakat ini, perniagaan tiket penerbangan AirAsia menyumbang 80 peratus kepada pendapatannya.

Fernandes berkata kumpulan itu akan mengembangkan perniagaannya dalam muzik dan perniagaan gaya hidup secara besar-besaran kerana syarikat penerbangan itu juga mahu menggabungkan RedVibes, sebuah unit untuk menganjurkan acara.

“Kami mahu mengubah cara anda melihat konsert, kami akan melakukan pakej (termasuk hotel dan tiket). Diharapkan kami membawa masuk ramai orang ke Malaysia menerusi penganjuran acara.

“Walaupun RedRecords adalah satu bahagian, kami melihat kepada keseluruhan infrastrukturnya, yang dihasilkan bersama filem. Perjalanan ini akan berterusan dan kami akan menjadi relevan dengan kehidupan anda,” katanya.

RedRecords juga mengumumkan artis sensasi Thailand, Jannine Weigel, menandatangani perjanjian dengan syarikat tersebut hari ini. Weigel, penyanyi, penulis lagu, pencetus pengaruh, gamer (pemain permainan video) dan pelakon telah mengeluarkan beberapa ‘single’ (lagu) dan ‘EP’ (album), mempunyai ramai pengikut di media sosial, dengan 600 juta penonton dan (3.3 juta pengikut) di YouTube, 1.5 juta (Instagram) dan lebih 500,000 diaplikasi TikTok.

RedRecords akan diketuai oleh Hassan Choudhury, Ketua Muzik bagi AirAsia Group, yang akan mengambil peranan sebagai CEO RedRecords.

Syarikat itu akan menumpukan pada pencarian dan mengembangkan bakat dari Asia Tenggara dan merentasi benua dan menghasilkan muzik yang jelas dan unik mencerminkan kepelbagaian dan kekayaan budaya muzikal di benua ini.

RedRecords akan berpangkalan di Kuala Lumpur dan Los Angeles, AS, dan menggabungkan UMG, syarikat peneraju dalam pembangunan artis dengan kekuatan pemasaran global dan serantau AirAsia untuk mengembangkan (artis Pop Asian) ke seluruh dunia.  – Bernama