Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan adalah 49.9 bagi April 2025 di mana ia menunjukkan perniagaan secara am merangka keadaan akan merosot berbanding dengan bulan sebelumnya.
Ini dikaitkan dengan jangkaan tahap jualan yang lebih rendah kerana orang ramai banyak berbelanja sebelum Sambutan Hari Raya Aidilfitri serta kebimbangan bahawa keadaan pasaran yang lebih lemah daripada jangkaan semasa bulan Ramadan akan berterusan ke April.
Cabaran-cabaran khusus sektor juga turut menjejaskan sentimen terutamanya gangguan operasi berkaitan cuaca dan ketidaktentuan pasaran luaran. Walau bagaimanapun, beberapa perniagaan mencatatkan sentimen optimistik dengan jangkaan peningkatan dalam permintaan dan aktiviti berikutan kedatangan bulan Syawal dan waktu operasi yang kembali normal.
Indeks keadaan perniagaan bagi satu bulan ke hadapan meningkat kepada tahap 50.1, menunjukkan sentimen yang sedikit optimistik bagi Mei 2025.
Perniagaan menjangka pemulihan aktiviti domestik selepas musim perayaan, didorong oleh projek baharu serta peningkatan dalam perbelanjaan tempatan memandang aktiviti merentas sempadan dijangka berkurangan dengan bermulanya musim peperiksaan sekolah.
Dapatan itu adalah daripada BSI bagi Laporan Negara Brunei Darussalam bagi April 2025 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), baru-baru ini.

BSI adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih dari 500 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi di kesemua daerah di Negara Brunei Darussalam.
Sub-Indeks Pelaburan adalah 50.3 bagi Mac 2025 dan 50.1 bagi tempoh satu bulan ke hadapan dan tiga bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan para peniaga menjangka akan meningkatkan tahap pelaburan pada April 2025 dan bulan-bulan seterusnya. Bagi April 2025, peniagaan menjangka akan meningkatkan pelaburan bagi menaik taraf sistem untuk meningkatkan kecekapan operasi, pembelian mesin dan peralatan bagi projek-projek baharu serta pembelian perabot untuk kemudahan-kemudahan yang baharu dan sedia ada.
Di masa yang terdekat, beberapa perniagaan akan melaksanakan projek untuk meningkatkan kapasiti operasi, pengubahsuaian, pembelian kenderaan baharu serta penambahan stok bagi pertengahan tahun.
Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, mereka boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik dalam laman sesawang BDCB, https://www.bdcb.gov.bn, serta mengikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun Instagram BDCB.
Ikuti lebih lanjut di dalam Media Permata digital melalui online.
Sub-indeks Pengambilan Pekerja berada pada tahap 50.2 pada April 2025 dan 49.9 bagi satu bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan bahawa secara amnya perniagaan menjangka akan meningkatkan pengambilan pekerja pada April 2025 dan akan mengurangkannya pada Mei 2025.
Peningkatan pada April 2025 dikaitkan dengan pengambilan pekerja untuk memenuhi permintaan bermusim semasa acara perayaan serta untuk mengembangkan perniagaan dan projek-projek baharu.
Hasil kaji selidik turut menunjukkan beberapa perniagaan sedang dalam proses penambahan tenaga kerja baharu.
Sebaliknya jangkaan penurunan tahap pengambilan pekerja pada Mei 2025 dikaitkan dengan penamatan kontrak pekerja dari sebilangan perniagaan yang sedang mengurangkan jumlah tenaga kerja.
Sub-indeks Kos Perniagaan adalah pada tahap 49.9 bagi April 2025 dan 50.1 bagi satu bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan pengurangan dalam kos secara keseluruhan bagi April 2025 berbanding dengan bulan sebelumnya.
Ini didorong oleh harga bahan mentah yang menurun, kos operasi yang lebih rendah bagi sesetengah perniagaan yang menanggung perbelanjaan tinggi semasa musim perayaan serta pengurangan pembayaran lebih masa untuk pekerja.
Bagi satu bulan ke hadapan, perniagaan menjangka kos akan meningkat ke tahap biasa dengan pengembalian semua waktu operasi biasa dan penyambungan semua projek.
Beberapa perniagaan mengaitkan jangkaan kenaikan kos dengan ketegangan perdagangan global, terutamanya daripada segi tekanan tarif global yang berkemungkinan akan meningkatkan kos pengimportan.
Daripada segi sektor ekonomi, enam daripada 11 sektor merekodkan sentimen optimistik keadaan perniagaan bagi April 2025.
Sektor Kesihatan & Pendidikan mencatatkan tahap optimistik yang tertinggi dengan indeks 50.6, sebahagian besarnya didorong oleh lonjakan permintaan bermusim seiring dengan pengembalian semula operasi normal selepas bulan Ramadan.
Sektor Hotel & Restoran dan sektor Pengangkutan & Komunikasi mengaitkan sentimen optimistik kepada pelbagai faktor seperti promosi bermusim, kemasukan kumpulan pelancong, dan peningkatan tempahan tempat dan katering sempena Hari Raya Aidilfitri dan majlis perkahwinan.
Sektor Kewangan & Insurans pula melaporkan sentimen optimistik berikutan jangkaan kenaikan permintaan insurans kenderaan, serta peningkatan sumbangan takaful dan kemudahan pinjaman pelanggan.
Sentimen optimistik turut dilaporkan bagi sektor Pembinaan dan sektor Pembuatan disebabkan oleh projek-projek baharu dan peningkatan aktiviti.
Sebaliknya, empat sektor menunjukkan sentimen pesimistik iaitu Sektor Pertanian, Perhutanan, Perikanan & Ternakan serta sektor Perdagangan Borong & Runcit menjangka permintaan lebih rendah semasa musim perayaan, sektor Perkhidmatan Lain pula melaporkan cabaran kos yang lebih tinggi yang dijangka akan menjejaskan prestasi perniagaan serta Sektor Minyak & Gas dan yang berkaitan juga mengongsikan beberapa cabaran dan faktor luaran.
Di samping itu, sektor Harta Tanah & Pemilikan Kediaman kekal stabil dengan sentimen yang sama berbanding bulan sebelumnya.
Daripada segi saiz perniagaan, perniagaan sederhana melaporkan pandangan sedikit optimistik yang didorong oleh peningkatan tempahan kerja dan jumlah pelanggan. Sebaliknya, perniagaan bersaiz kecil dan besar secara amnya berpandangan pesimistik, dengan jangkaan perniagaan akan terjejas oleh cabaran bermusim dan peningkatan persaingan.
Sementara itu, perniagaan bersaiz mikro menyatakan sentimen yang sama dengan bulan sebelumnya.
BSI bertujuan untuk mengukur tahap keyakinan atau sentimen perniagaan di Negara Brunei Darussalam dalam berbagai-bagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja serta kos menjalankan perniagaan.
Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, ia boleh digunakan sebagai salah satu petunjuk awal keadaan makroekonomi negara.
Keterangan indeks ialah nilai BSI atas 50 menunjukkan keadaan yang lebih baik atau sentimen lebih optimistik berbanding dengan bulan sebelumnya, nilai BSI 50 menunjukkan keadaan lebih kurang sama berbanding dengan bulan sebelumnya dan nilai bawah 50 menunjukkan keadaan yang merosot atau sentimen lebih pesimistik berbanding dengan bulan sebelumnya.