Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Tidak dinafikan lagi, penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia telah menjejaskan para peniaga terutamanya pengusaha kecil-kecilan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini disebabkan peniadaan gerai-gerai Ramadan.
Bagaimanapun, usaha gigih para peniaga untuk mencari rezeki tetap tidak kendur dengan beralih kepada perniagaan dalam talian, yang sedikit seba-nyak dapat membantu jualan mereka.
Salah seorang peniaga itu ialah Dayang Maslihat binti Daruman, 40, yang berniaga pelbagai juadah berbuka puasa setiap tahun.
Beliau berkata, Ramadan tahun ini merupakan satu pengalaman baharu buatnya kerana menjalankan perniagaan secara dalam talian dan perkhidmatan penghantaran bayar selepas terima (COD).
“Sekiranya di bazar Ramadan seperti tahun-tahun sebelum ini, saya boleh mendapat keuntungan secara purata sebanyak $500 sehari, tetapi jualan pada bulan Ramadan kali ini yang dikendalikan dari rumah hanya membolehkan saya mendapat hasil jualan lebih sedikit berbanding biasa,” ujarnya.

Menurutnya, jualan harian kali ini jatuh hampir 50 peratus berbanding jualan harian di bulan Ramadan pada tahun-tahun sebelumnya.
Lain pula bagi peniaga goreng pisang madu, di mana jualannya telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan setiap hari bermula 1 Ramadan lalu.
Awang Sophian bin Haji Nudin, pemilik Pisang Goreng C-Pyan di Jalan Pasir Berakas, Kampung Lambak ketika ditemui Media Permata berkata, sejak awal Ramadan, sambutan jualan goreng pisangnya sangat baik dan setiap hari jualannya habis dibeli oleh pelanggan tetap dan baharu.
Beliau juga menerima pembelian secara talian iaitu melalui aplikasi WhatsApp, di mana kebanyakan pelanggan tetap membuat tempahan lebih awal.
Jualan secara langsung pula tergantung jika sekiranya mereka mempunyai tambahan.
“Akan tetapi InsyaAllah, kami dapat memenuhi permintaan orang ramai di bulan yang mulia, jika jualan tidak habis kami sedekahkan kepada pelanggan atau orang-orang berdekatan sebelum menutup gerai selepas berbuka,” tambahnya.
Beliau juga tidak dapat menafikan bahawa peniagaan secara dalam talian merupakan sesuatu yang baharu.
“Alhamdulillah sedikit sebanyak ia dapat membantu pada musim krisis penularan wabak COVID-19 ini. Sebelum Ramadan memang terasa sedikit impak COVID-19 iaitu kekurangan pisang yang biasa dibeli dari negara jiran.
“Bagaimanapun, kita akan mencuba yang terbaik bagi memastikan jualan musim Ramadan ini dapat dijalankan meskipun melalui cara berbeza,” ujarnya lagi.
Seorang lagi peniaga, Dayangku Nisa binti Pengiran Haji Sofri turut menyatakan bahawa jualan juadah untuk berbuka puasa turut mendapat sambutan yang baik. Walau pun tidak seperti tahun-tahun sudah, akan tetapi ia sedikit sebanyak dapat membantu untuk bertahan.
Jelasnya, kalau dahulu, beliau menyediakan makanan di hadapan gerai yang mana pelanggan akan datang bagi membeli makanan, namun kini, mereka lebih menggalakkan tempahan awal secara dalam talian bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini pada musim krisis wabak COVID-19 ini.
“Tidak dapat dinafikan hasil jualan mengalami penurunan kerana bukan semua orang aktif dalam menggunakan media sosial bagi melihat setiap menu yang ditawarkan,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau akur dengan keputusan kerajaan yang menetapkan undang-undang sedemikian demi memastikan kebaikan semua pihak sekali gus memutuskan rantaian COVID-19.
Tinjauan Media Permata ke gerai Wok it Out, yang dimiliki oleh Dayangku Nisa dan pasangannya turut mendapati kawasan berkenaan juga mendapat sambutan.
Menurut beliau, jika kawasan berkenaan menjadi sesak mereka akan menasihatkan pelanggan untuk membuat penjarakan sosial untuk menjaga keselamatan bersama.
“Alhamdulillah semua pelanggan akur dengan arahan yang diberikan,” ujarnya.