Friday, February 7, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perniagaan di batasan terjejas berikutan penutupan sempadan

    NOGALES,ARIZ – Evan Kory mula membuat panggilan kepada bakal-bakal pengantin perempuan di utara Sonora, Mexico, Mac lalu, untuk bertanya sekiranya mereka mahu mendapatkan gaun-gaun pengantin mereka dari kedainya di Arizona sebelum Amerika Syarikat menutup sempadannya dengan Mexico dan Kanada disebabkan koronavirus.

    Kedai dengan nama keluarganya itu yang terletak di Nogales sememangnya popular dalam kalangan bakal pengantin perempuan di utara Sonora kerana kepelbagaian pilihan tersedia dan harga mampu milik, kata Kory, pemilik perusahaan generasi ketiga itu.

    Terletak beberapa langkah sahaja dari pagar sempadan, Kory’s telah beroperasi selama setengah abad namun kini sudah ditutup selama setahun kerana pandemik, dengan kebanyakan daripada pelanggannya yang terdiri daripada orang-orang yang datang dari Mexico secara ulang-alik tidak dapat datang ke AS dan ke kedai itu.

    Kira-kira 1,600 batu ke utara, Roxie Pelton di Oroville, Washington, juga berhadapan dengan masalah yang sama. Perniagaan di kedai penghantaran dan penerimaannya telah menurun sebanyak 82 peratus berbanding tahun lalu kerana kebanyakan pelanggan dari Kanada yang selalunya menghantar pesanan secara dalam talian mereka ke kedainya tidak dapat memandu merentas sempadan.

    Musim panas yang lalu, pengusaha berusia 72 tahun itu telah memberhentikan dua orang pekerjanya dan kini be-kerja sendirian.

    “Saya telah bertahan sejauh ini, dan saya berdoa agar saya dapat bertahan sehingga sempadan dibuka,” ujar Pelton bulan lalu. Di bandar-bandar sempadan di seluruh AS, perusahaan-perusahaan kecil mengalami kejutan kesan ekonomi akibat penutupan separuh sempadan antarabangsa Amerika Utara. Sekatan ke atas perjalanan tidak penting telah dikenakan setahun yang lalu untuk membendung penularan virus dan berterusan dilanjutkan hampir setiap bulan semenjak itu, dengan pengecualian terhadap perdagangan, trak-trak penghantaran dan rantaian barangan-barangan penting.

    Perusahaan-perusahaan kecil, penduduk dan dewan-dewan perniagaan setempat berkata kesannya daripada segi kewangan adalah teruk, begitu juga dari segi kehidupan komuniti-komuniti yang biasa membeli-belah, bekerja dan tinggal di dua negara yang berbeza.

    “Komuniti-komuniti di sempadan adalah mereka yang bergantung  ekonomi, sosial dan ya, kesihatan juga – pada perjalanan harian dan penting pemegang-pemegang visa pelancong,” menurut sepucuk surat yang ditulis oleh presiden-presiden daripada 10 buah dewan perniagaan di bandar-bandar sempadan di Arizona, Texas dan California bulan lalu yang ditujukan kepada jabatan-jabatan keselamatan dalam negara dan pengangkutan.

    Mereka meminta agar kerajaan membenarkan pelawat-pelawat dengan visa pelancong AS untuk merentas masuk ke negeri-negeri mereka.

    Dengan semakin ramai penduduk Amerika telah menerima vaksin COVID-19 dan menurunnya kadar jangkitan, ramai yang berharap sekatan-sekatan yang dikenakan akan dikendurkan tidak lama lagi.

    Greg Kory, seorang pemilik perusahaan bersama ayahnya berdiri di hadapan dinding yang dipenuhi perhiasan untuk dijual di kedainya di Nogales, Arizona. – AP
    Seorang wanita berjalan di hadapan dua buah kedai pakaian yang telah ditutup, terletak hanya beberapa langkah sahaja dari sempadan AS-Mexico di Nogales, Arizona. – AP
    Dua buah kereta peronda sempadan kelihatan di hadapan kedai pakaian beberapa langkah sahaja dari sempadan AS-Mexico. – AP

    Senator AS, Susan Collins, Republikan dari Maine, meminta kerajaan Biden pada bulan lalu untuk mempertimbangkan semula sekatan-sekatan di sempadan AS-Kanada, dengan berkata “pengecualian-pengecualian yang masuk akal” seperti lawatan keluarga atau perjalanan harian perlu dibuat untuk bandar-bandar di sempadan di mana kadar jangkitan adalah rendah.

    Walau bagaimanapun, Jabatan Keselamatan Dalam Negara mengumumkan bahawa AS, Mexico dan Kanada telah bersetuju untuk melanjutkan lagi sekatan terhadap perjalanan tidak penting di sempadan sehingga 21 April.

    Manakala, Wakil Demokrat AS Raul Grijalva di Arizona telah memperkenalkan dasar untuk membantu perusahaan-perusahaan kecil dalam lingkungan 25 batu (dari sempadan AS dengan pinjaman sehingga AS$500,000 atau geran AS$10,000.

    “Trafik rentas sempadan merupakan nadi kepada ekonomi mereka,” kata Grijalva. “Dan ia adalah orang-orang yang merentas masuk, orang-orang yang datang untuk membeli-belah.”

    Pelawat-pelawat dari Mexico telah menyumbang sehingga kira-kira 60 hingga 70 peratus daripada pendapatan cukai jualan komuniti-komuniti di Arizona, menurut Suruhanjaya Arizona-Mexico, yang mempromosikan perdagangan dan pelancongan.

    Di Texas, bandar-bandar di sempadan menghadapi kadar pengangguran yang lebih tinggi ketika pandemik berbanding purata keseluruhan di negeri itu, meskipun di beberapa tempat, ia adalah perkara yang sememangnya sedemikian.

    Jesus Canas, ahli ekonomi perniagaan di Bank Rizab Persekutuan, Dallas, berkata ekonomi sempadan Texas nampaknya lebih baik berbanding jangkaan ramai setahun yang lalu. Di bandar-bandar sempadan seperti Brownsville,Laredo dan El Paso, kadar pengangguran tahunan bagi bulan Januari iaitu sebanyak 9.5 peratus, 8.9 peratus dan 7.4 peratus, ma-sing-masing, adalah tidak jauh daripada purata di negeri itu iaitu 7.3 peratus untuk menunjukkan bahawa sekatan-sekatan tersebut mempunyai impak yang kurang terhadap ekonomi-ekonomi sempadan yang lebih pelbagai dan besar berbanding di tempat lain.

    “Apa yang saya lihat selama beberapa tahun ini adalah (ekonomi) sempadan menyesuaikan diri dengan kejutan-kejutan ini dalam cara yang sangat aneh,” kata Canas.

    Di Nogales, penyusutan ekonomi daripada akibat penutupan separuh sempadan selama hampir 12 bulan mudah dilihat di kawasan pinggir bandar.

    Kedai-kedai pakaian murah, pengurup wang, kedai-kedai barangan terpakai dan kedai runcit barangan plastik dalam lingkungan berjalan kaki dari sempadan telah ditutup. Banyak daripada bahagian depan kedai-kedai itu telah ditutup dengan papan.

    Olivia Ainza-Kramer, presiden Dewan Perniagaan Nogales, berkata penurunan pendapatan akibat kekurangan pembeli-pembeli dari Mexico dalam lingkungan setahun ini sangat dirasai oleh perusahaan-perusahaan yang paling dekat dengan sempadan yang selalunya dimiliki oleh keluarga dan menyasarkan pembeli-pembeli yang berjalan kaki.

    Jauh di utara, kedai-kedai runcit besar dan yang lainnya berada dalam situasi yang sedikit lebih baik kerana mereka dikunjungi para penduduk bandar seramai 20,000 orang itu, katanya.

    Kory, yang memiliki kedai pakaian pengantin, melihat perbezaannya yang cukup ketara. Keluarganya memiliki tiga buah kedai pakaian di Nogales. Dua daripadanya sangat dekat dengan pintu masuk sempadan AS-Mexico – kedua-duanya ditutup  manakala yang ketiga pula kira-kira sejauh 4 batu dari sempadan.

    Kory berkata keluarganya masih mampu meneruskan operasi kedai ketiganya itu, meskipun hasil jualannya berkurangan sebanyak 75 ke 80 peratus daripada jualan sebelum pandemik. Kebanyakan daripada kalangan pelanggannya adalah penduduk setempat Nogales, katanya.

    “Anda tahu, kami sudah melihat perubahan di sempadan antarabangsa, dari tahun 40an…dalam keluarga saya,” katanya. “Inilah kali pertama kedai kami ditutup.”

    Kory memberitahu perusahaannya kini hanya mempunyai seramai empat orang pekerja sahaja berbanding 27 orang sebelum ini. Namun berdasarkan perbualan bersama pelanggan-pelanggan di Mexico, dia yakin sebaik sahaja sekatan ditarik semula, jualannya akan kembali pulih untuk menggaji semula pekerja-pekerja tersebut.

    “Itulah rancangannya,” kata Kory, “tetapi kami tidak dapat berbuat demikian sehinggalah para pelanggan kami dibenarkan untuk merentas masuk.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda