HANOI, 21 JAN – Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam mencadangkan supaya perusahaan e-dagang rentas sempadan yang menjalankan perniagaan di Vietnam mendaftar untuk mendapatkan lesen operasi, lapor Xinhua yang memetik media tempatan hari ini.
Menurut draf undang-undang mengenai e-dagang, yang terbuka untuk pendapat dan maklum balas, perusahaan e-dagang rentas sempadan juga mesti menubuhkan pejabat atau melantik entiti sah sebagai wakil melalui kuasa wakil di negara tersebut.
Platform e-dagang rentas sempadan akan dilarang menjual barangan atau menyediakan perkhidmatan jika mereka tidak melengkapkan prosedur pematuhan dengan pihak berkuasa pengawalseliaan e-dagang.
Nilai pasaran e-dagang Vietnam melepasi AS$25 bilion tahun lalu, meningkat hampir 20 peratus berbanding 2023, menurut kementerian itu. – Bernama