Penyanyi Malaysia, Noraniza Idris, 57, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, mendakwa perniagaan muruku miliknya dianiaya akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian hampir RM630,000.
Menurut Harian Metro, Noraniza ketika ditemui berkata, dia menyedari ditipu selepas akademi berkenaan gagal membuat sebarang pembayaran selepas mengambil produk selama lebih sebulan dianggarkan sekitar 20,000 pek.
“Saya menerima pelawaan mereka kerana niat ingin membantu, tambahan pula saya memang menyokong aktiviti amal kebajikan sejak sekian lama. Namun, niat baik dipermainkan apabila pihak terbabit melanggar perjanjian dengan hanya membayar kira-kira RM3,000 secara berperingkat.
“Sejak menyedari ditipu pada Jun tahun lalu, saya kerap menuntut bayaran, tetapi pelbagai alasan diberikan sehingga jumlah kerugian mencecah RM630,000.
“Kerugian ini merangkumi kos mesin khas pembuatan muruku, percetakan, pembungkusan logo syarikat dan pembayaran gaji pekerja,” katanya ketika ditemui di IPD Shah Alam, kelmarin.

Terdahulu, Noraniza hadir ditemani anak keduanya, Fee Haiqal, 32.
Menurut Noraniza, dia terpaksa memberhentikan lebih 10 pekerja kerana tidak mampu membayar gaji akibat penganiayaan itu.
“Bagi memenuhi permintaan syarikat, saya menambah jumlah pekerja. Namun, daripada 20 pekerja, kini hanya tinggal empat orang sahaja.
“Saya tidak boleh tutup kerana ia perniagaan keluarga. Mahu atau tidak, saya perlu teruskan kerana kami masih menerima permintaan secara dalam talian,” katanya.
Noraniza berkata, dia kesal kerana kejadian itu turut mengganggu emosi anak-anak dan keluarga apabila mengenangkan usaha membangunkan syarikat dilakukan sejak setahun lalu. – Agensi