Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Seorang wanita berbangsa Filipina memilih agama Islam sebagai pegangan hidup dan telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Bilik Al-Muhtadiin, Tingkat 2, Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Di-Pertua Persatuan Siswazah Wanita, Negara Brunei Darussalam, Pengiran Hajah Zubaidah binti Pengiran Haji Kamaludin.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah diikuti dengan lafaz pengislaman Estrella Demadin Olivar, berusia 40 tahun, yang memilih nama Islamnya, Inayah Inarah binti Abdullah.
Majlis pengislaman disempurnakan oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Pengembangan Dakwah, PDI.
Semasa ditemu bual, Dayang Inayah Inarah berkata hatinya terbuka untuk memeluk agama Islam setelah mendengar dan melihat keindahan agama Islam daripada kakaknya serta rakan-rakan sekerja.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati oleh tetamu kehormat majlis kepada mualaf yang diraikan, diikuti dengan Dikir Marhaban dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Sejak bulan Januari hingga September 2022, seramai 332 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara, yang mana 119 orang daripada jumlah tersebut adalah dari Daerah Brunei dan Muara.
