TOKYO, 31 DIS – Bursa saham utama Asia ditutup untuk cuti Tahun Baharu hari ini, hanya sebilangan kecil sahaja yang masih dibuka.
S&P/ASX di Australia merosot 1.4 peratus kepada 6,587.10, sementara Hang Seng di Hong Kong meningkat 0.3 peratus kepada 27,231.13. Komposit Shanghai meningkat 1.2 peratus kepada 3,455.55. Perniagaan ditutup di Tokyo dan Korea Selatan. Bursa Tokyo meraikan berakhirnya perniagaan untuk tahun semalam, dengan Nikkei merosot 0.5 peratus, dan perniagaan tidak akan dibuka semula sehingga Isnin minggu depan. Pasaran global akan ditutup untuk Tahun Baharu esok.
Tumpuan telah diberikan pada perkembangan vaksin di seluruh dunia, dengan Sinopharm China menjadi terbaharu mengeluarkan keputusan kajian yang menggalakkan. Pelabur berasa optimistik mengenai lebih banyak vaksin menerima kelulusan pada minggu-minggu akan datang.
Di Wall Street, saham mencatat pemerolehan sederhana semalaman, mengekal indeks saham utama di Wall Street pada rekod tinggi.
Dalam perniagaan tenaga, minyak mentah AS merosot 7 sen kepada AS$48.33 setong. Minyak Brent, standard antarabangsa, meningkat 25 sen kepada AS$51.34 setong.
Dalam perniagaan mata wang, dolar AS merosot kepada 103.15 yen daripada 103.33 yen. Euro berharga $1.22994, meningkat daripada $1.2260. – AP
