Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) Negara Brunei Darussalam bagi Januari 2025. Indeks tersebut adalah berdasarkan kaji selidik ke atas hampir 500 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar dari 11 sektor ekonomi, di semua daerah di Negara Brunei Darussalam.
BSI bertujuan untuk mengukur tahap sentimen atau keyakinan perniagaan di Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai aspek, termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja, dan kos menjalankan perniagaan.
Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, indeks itu boleh digunakan sebagai salah satu petunjuk awal keadaan makroekonomi negara.
Bagi Januari 2025, indeks utama BSI, iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan adalah 50.3.
Selaras dengan jangkaan dari bulan sebelumnya, ia menunjukkan bahawa perniagaan sektor swasta secara amnya menjangka keadaan perniagaan yang lebih baik pada Januari 2025.

Hasil kaji selidik menggambarkan keadaan optimistik dengan peningkatan permintaan yang didorong oleh pemulihan selepas musim cuti, sambutan perayaan dan acara berskala besar sepanjang bulan Januari 2025.
Perniagaan menjangka pemulihan yang ketara dalam aktiviti perniagaan dengan kembalinya pengguna dari percutian mereka dan pengembalian semula operasi perniagaan seperti biasa. Sambutan Tahun Baharu Cina juga memperkukuhkan lagi pemulihan ini, dengan peningkatan jualan bagi pelbagai sektor. Selain itu, acara-acara seperti Pesta Pengguna dan Ekspo Perdagangan memberikan dorongan besar dalam meningkatkan penglibatan pengguna, mempamerkan produk baharu dan merangsang perbelanjaan tempatan.
Meskipun masih terdapat cabaran seperti kekurangan tenaga kerja dan risiko berkaitan dengan cuaca, para peniaga berupaya mengambil peluang pada Januari 2025 untuk meningkatkan prestasi mereka. Indeks keadaan perniagaan bagi satu bulan ke hadapan juga berada di tahap 50.3, namun beberapa perniagaan menunjukkan sedikit kewaspadaan terhadap prospek perniagaan.
Jangkaan untuk penambahbaikan keadaan perniagaan juga didorong oleh projek-projek baharu dan persiapan untuk bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang. Walau bagaimanapun, kebimbangan mengenai penurunan aktiviti pada bulan Februari 2025, kerana ia merupakan bulan bekerja yang lebih pendek, mungkin mengurangkan sentimen positif dalam beberapa sektor.
Sementara itu, Sub-Indeks Pelaburan adalah 50.1 bagi kesemua sub-indeks: Januari 2025, satu bulan ke hadapan, dan tiga bulan ke hadapan. Ini menunjukkan peningkatan yang sedikit namun berterusan dalam aktiviti pelaburan.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman web BDCB di www.bdcb.gov.bn. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar akan datang dan akaun Instagram BDCB @centralbank.brunei.