MIAMI, 18 DIS – Amerika Syarikat (AS) dijangka mengharamkan perniagaan sirip ikan yu, satu tindakan yang diharapkan oleh penyokong pemuliharaan akan membantu melindungi berjuta-juta ikan yu yang dibunuh setiap tahun demi memenuhi permintaan di China dan kawasan lain di Asia.
Amalan membuang sirip ikan yu, di mana ikan tersebut ditangkap untuk sirip dan bangkainya dibuang semula ke laut, diharamkan di perairan AS selama beberapa dekad. Namun AS merupakan hab utama untuk perniagaan laris itu di mana sirip daripada 73 juta ikan yu dipotong di seluruh dunia setiap tahun.
Dewan Senat dan Perwakilan meluluskan versi cadangan pengharaman yang sama sebagai sebahagian daripada bil perbelanjaan pertahanan yang lebih luas dan dijangka ditandatangani oleh Presiden Joe Biden. Sebaik sahaja ditandatangani, menjadi satu kesalahan untuk warga Amerika membeli, menjual, membawa atau memiliki sirip ikan yang ditangkap di luar negara.
Setiap tahun, pemeriksa pelabuhan Amerika merampas ribuan sirip ikan yu kering dalam hantaran tanpa dokumen yang menuju ke China dan kawasan lain di Asia di mana sup sirip ikan yu adalah makanan istimewa.
Sementara bukan semua ikan yu dibunuh untuk siripnya, tidak ada bahagian ikan yu lain – seperti daging, rahang atau kulit – boleh bersaing dengan sirip dari segi nilai. Bergantung pada jenis ikan yu, satu paun sirip boleh dijual dalam ratusan dolar, menjadikannya salah satu produk makanan laut paling mahal berdasarkan berat. – AP


