DAMSYIK – Peperangan di Syria menyebabkan kehidupan penduduk di sana berada dalam keadaan yang tidak menentu, di mana wanita-wanita Syria harus akur untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada suami mereka bagi mendapatkan sumber pencarian akibat peperangan tersebut.
Bagi mereka, mencari kerja bukanlah sesuatu yang mudah semasa peperangan tersebut, apatah lagi bagi suri rumah yang menghabiskan masa mereka selama bertahun-tahun untuk membesarkan anak-anak dan tidak pernah melakukan pekerjaan lain.
Tambahan pula, ia bukannya sesuatu yang mudah bagi wanita dalam keluarga konservatif untuk mencari pekerjaan. Disebabkan hal ini mereka perlu berfikir sesuatu yang sesuai dengan kehidupan mereka sebelumnya dan tidak bertentangan dengan tradisi mereka.
Dania Mousili, 33, merupakan salah seorang wanita dari berjuta-juta wanita yang terpaksa membantu suami mereka semasa peperangan untuk mencari nafkah.
Dania pada waktu pagi melakukan pekerjaan dan waktu malam menjalankan perniagaannya sendiri untuk membantu keluarganya mendapatkan mata pencarian.



Semasa tahun 2017, dia mula berfikir cara untuk membantu keluarganya dan memutuskan untuk memasak dan menjual makanan yang dibuatnya setiap hari. Ibu kepada empat orang anak itu memberitahu Xinhua dia memulakan perniagaannya dengan membuat Barak keju, salah satu pastri tradisional yang selalunya dijadikan sebagai pembuka selera.
“Saya memulakan dengan membuat Barak keju dan menjualnya kepada jiran-jiran sahaja dan sebulan kemudian saya sudah mula mendapat banyak tempahan dari pelanggan,” katanya.
Dia mula memasak pelbagai hidangan berikutan dengan permintaan daripada pelanggannya. Apabila dia mula menerima banyak tempahan dia akan meminta pertolongan daripada jiran-jiran atau kawan-kawannya untuk membantunya di dapur bagi menyiapkan tempahannya.
Wanita ini percaya bahawa sesuatu masalah tidak akan menjejaskan seseorang, namun ia akan membuat seseorang itu menjadi lebih kuat. Dia berkata bahawa krisis ini tidak membuatnya merasa sedih atau susah namun ia membuatnya menyedari akan potensinya.
“Krisis ini membuatkan saya menjadi lebih kuat daripada kebiasaan. Kami menjalani kehidupan seharian dengan keadaan yang serba-serbi kekurangan namun ia tidak membuatkan saya merasa sedih atau putus asa bahkan ia membuatkan saya menjadi lebih kuat untuk menjalani kehidupan masa kini,” katanya.
Apabila perniagaannya semakin berkembang, dia mula memerlukan lebih banyak pekerja dan menggaji pakar media sosial untuk mengiklankan makanannya. Dia juga mengupah seorang pemandu untuk melakukan penghantaran ke rumah pelanggannya.
Dania kini mempunyai 16,000 pengikut di Facebook, di mana dia menggunakan platform tersebut untuk mempamerkan makanan yang dijualnya serta proses pembuatannya. Para pelanggannya juga berinteraksi bersama dalam gambar yang dimuat naiknya sama ada mereka menyukainya atau bertanya harga setiap makanan yang dikongsi. Dia juga menerima tempahan melalui aplikasi WhatsApp bagi memudahkan pelanggannya membuat pesanan.
Kejayaannya ini, tidak membuatnya lupa pada suaminya yang banyak memberikannya sokongan berterusan.
Suaminya, Nizar Eiz-Aldeen memberitahu Xinhua bahawa dia sentiasa memberikan sokongan penuh kepada isterinya dan kadang-kadang memberikan buah fikiran tentang masakan dan makanan untuk dijual. Dia juga berharap agar isterinya mengambil peluang ini walaupun dia belum tahu sejauh mana perniagaan ini boleh berkembang.
“Dahulu saya hanyalah seorang pemandu. Apabila isteri saya memulakan projek ini, saya memberikan sokongan yang penuh terhadapnya namun saya tidak mengetahui bahawa perniagaan ini boleh berjaya sehinggakan saya berhenti bekerja untuk membantunya mengembangkan perniagaan ini,” katanya kepada Xinhua.
“Krisis ini banyak menyedarkan kami bahawa terdapat persamaan antara lelaki dan wanita dalam menjalani kehidupan dan ini telah mengubah kehidupan kami menjadi lebih baik,” katanya. – Xinhua