Monday, October 21, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perobohan Kampung Sembulan Tengah ditangguhkan – Shahelmey

    KOTA KINABALU, 20 OKT – Perobohan rumah di kawasan setinggan Kampung Sembulan Tengah yang dijadualkan 1 November, ditangguhkan buat sementara waktu.

    Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata keputusan itu dibuat selepas sesi perbincangan antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan agensi berkaitan, diadakan bersama penduduk kampung berkenaan baru-baru ini.

    Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata notis arahan untuk merobohkan penempatan kawasan itu sebelum ini telah dijadualkan 14 Oktober dan kemudiannya 1 November ini.

    “Ada beberapa penduduk yang bersetuju rumah mereka dirobohkan kerana strukturnya yang tidak selamat untuk diduduki. Perobohan tidak akan dilakukan serta-merta, mengejut atau tiada makluman. Jika ada keperluan merobohkan, pihak DBKK akan memaklumkan penduduk kampung yang terlibat.

    “Kerajaan kita adalah kerajaan yang prihatin terhadap isu rakyat, kita tidak akan membiarkan satu tindakan yang drastik menghalau atau membiarkan penduduk yang terlibat dalam pembangunan hilang tempat tinggal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kampung berkenaan hari ini.

    Shahelmey berkata perobohan hanya akan dibuat terhadap lot-lot struktur rumah yang tidak selamat, mendatangkan risiko, keselamatan, bahaya dan kesihatan kepada penghuninya.

    Beliau berkata secara dasar penduduk di kampung berkenaan bersetuju agar kawasan itu dibangunkan semula, tetapi dengan syarat mereka mendapat penempatan dan pampasan yang setimpal. – Bernama

    Shahelmey Yahya (kanan) diberi penerangan mengenai keadaan perumahan setinggan Kampung Sembulan Tengah semasa mengadakan lawatan ke perkampungan setinggan itu 20 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda