Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – GHK Motors Sdn Bhd telah membawa masuk kereta Perodua terbaru ‘Perodua Bezza Premium X’ yang merupakan kereta sedan pertama dihasilkan oleh jenama buatan Malaysia berkenaan.
Bezza merupakan kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama dalam barisan model Perodua yang mana ‘Beza’ bermaksud berlainan dalam Bahasa Malaysia. Manakala itu, dua huruf ‘Z’ dalam nama Bezza menyerupai nombor 22 menandakan Perodua sudah di pasaran selama 22 tahun.
Semasa sidang media di Bilik Pameran GHK Motors, hari ini, Eksekutif Pemasaran Mitsubishi, Dayang Nur’izzah Nazihah binti Haji Kamsani menjelaskan, pemilik atau pemandu akan menerima lebih daripada jangkaan kerana Bezza menyatukan keseluruhan kemahuan pelanggan seperti teknologi terkini, penggunaan penting, keselamatan tinggi, kualiti dan harga berpatutan dalam sebuah kereta sedan.
Model premium ini dimuatkan dengan enjin 1.3cc 1NR-VE Dual VVT-i dengan kuasa 70/6000 (Kw/rpm) yang juga menawarkan fungsi Push Start/Stop, pemegang pintu luar disalut warna krom, kunci pintar hingga kepada sistem audio dengan kelengkapan USB & Bluetooth.


Apa yang menarik pada model ini, ia mempunyai cermin dan cermin sisi automatik, sensor undur, tali pinggang keledar dengan fungsi ISOFIX dan beg udara depan. Perodua Bezza juga dianugerahkan dengan empat bintang keselamatan ASEAN NCAP.
Perodua dijadikan sebagai mesra alam dan dijanjikan menyalurkan prestasi baik dengan penjimatan minyak melalui Unit Kawalan Enjin (ECU). Kereta ini sesuai bagi perjalanan bersama keluarga kerana ruang dalamannya yang luas.
Orang ramai yang ingin melihat lebih dekat, dialu-alukan untuk menghadiri pratonton Perodua Bezza esok (5 Mei) bermula jam 9 pagi di Bilik Pameran GHK Motors, Beribi.