Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perodua kekalkan momentum jualan

    KUALA LUMPUR, 1 Mei – Momentum jualan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) kekal kukuh dengan peningkatan 9.5 peratus kepada 82,700 unit antara Januari-April 2019 berbanding 75,500 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

    Perodua berkata ini merupakan jumlah terbesar kenderaan yang dijual oleh syarikat itu dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, disokong oleh permintaan kukuh yang berterusan untuk semua modelnya.

    Dalam kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata angka jualan yang dijana secara dalaman membuktikan terdapat sokongan berterusan terhadap produk Perodua.

    “Sementara menunggu angka rasmi jumlah jualan industri oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami yakin penguasaan pasaran kami melebihi 43 peratus bagi tempoh empat bulan, sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi domestik secara menyeluruh.

    “Malah, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, Perodua membelanjakan RM1.8 bilion untuk pembelian komponen daripada pembekal automotif tempatan, dan berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi komitmen kami sebanyak RM5.4 bilion dalam pembelian komponen tahun ini,” katanya.

    Zainal Abidin berkata kumpulan itu akan meneruskan komitmennya untuk membeli daripada pembekal komponen automotif domestik pada tahun-tahun yang akan datang, walaupun mengharungi keadaan pasaran yang mencabar.

    “Walaupun terlalu awal untuk menetapkan sasaran melepasi 2019, kami yakin dan optimis bahawa pertumbuhan Perodua pada tahun 2020 akan terus memberi manfaat kepada pembekal tempatan,” katanya.

    Model Perodua, yang semuanya mempunyai lebih daripada 90 peratus kandungan tempatan, menyaksikan pendaftaran yang sihat pada April dengan lebih 7,700 Myvi, 5,900 Axia, 4,200 Bezza dan 1,100 Alza dijual.

    “Bagi Aruz, kami gembira melaporkan bahawa pada bulan April, terdapat lebih 3,200 unit yang didaftarkan dan pencapaian ini penting kepada kami kerana Aruz mewakili usaha transformasi terbaru kami ke arah menjadi jenama serantau.

    Sejak tempahan untuk Aruz dibuka pada 3 Jan, hampir 20,000 tempahan direkodkan, menjadikan purata harian sebanyak 170 tempahan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda