PETALING JAYA, 30 Okt – Syarikat Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya lima tahun untuk menyemai tingkah laku yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata statistik menunjukkan kemalangan jalan raya di negara ini mencecah setengah juta tahun lepas, dengan 7,000 kematian atau kadar kematian enam peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.
“Kaji selidik yang dijalankan menunjukkan 80.6 peratus daripada kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian manusia,” katanya ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua dan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak Perodua, di sini hari ini.
Kempen itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abd Aziz Kaprawi.
Aminar berkata fokus awal program lima tahun itu bersandarkan kepada empat tunggak amalan pemanduan yang baik, iaitu memakai tali pinggang keledar, tidak menggunakan peranti mudah alih semasa memandu, penggunaan isyarat lampu serta penggunaan kerusi kanak-kanak. – Bernama