KUALA LUMPUR, 13 Dis – Syarikat Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) telah melantik Datuk Zainal Abidin Ahmad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru bagi menggantikan Datuk Dr Aminar Rashid Salleh yang akan bersara selepas berkhidmat selama sembilan tahun.
Dalam satu kenyataan, Perodua berkata, tempoh perkhidmatan Aminar sebagai Presiden dan CEO Perodua akan berakhir pada 31 Disember.
Zainal akan mengambil alih tugas itu mulai 1 Januari 2019.
Beliau pernah menjadi Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd dan memegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Maklumat dan Perakaunan dari Universiti Pacific Lutheran, Washington.
Beliau memulakan kerjayanya di Perodua pada 1995 di jabatan kawalan kos dan terlibat secara langsung dalam mewujudkan struktur kos pembuatan Perodua.
“Zainal akan menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pertama yang dipilih dari dalam Perodua.
“Beliau terbabit dalam perumusan Dasar Automotif Negara (NAP) dan bekerjasama rapat dengan kerajaan melalui pelbagai badan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menambah baik dasar,” katanya. – Bernama