KUALA LUMPUR, 31 Dis – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yakin dapat mencatat satu lagi tahun yang baik pada 2018, dipacu oleh tiga model Kenderaan Cekap tenaga (EEV) yang dijangka menguasai pasaran tempatan.
Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, berdasarkan kekuatan EEV Perodua, pengeluar kereta itu agak positif untuk mencatat satu lagi pertumbuhan yang akan melepasi jualan 2017.
Beliau berkata, kumpulan itu berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 202,000 unit pada 2017 walaupun persekitaran ekonomi yang mencabar dan membayangkan satu lagi pertumbuhan jualan satu digit yang boleh dicapai pada 2018.
Prospek jualan Perodua untuk tahun itu dijangka dipimpin oleh ‘Myvi’ serba baru yang dilancarkan pada November, bersama ‘Axia’ hatchback lima pintu yang paling laris dan sedan pertamanya, Bezza.
Ketiga-tiganya memenuhi definisi kerajaan mengenai EEV di bawah Dasar Automotif Nasional 2014.
“Myvi yang baru mempunyai banyak ciri-ciri yang hebat. Mengambil petunjuk daripada populariti jenama Myvi, ya, kami yakin ia akan berjaya seperti Myvi terdahulu.
“Tumpuan kami sekarang adalah untuk memastikan penyerahan Myvi baru dalam jangka masa yang boleh diterima,” kata Zahari, yang dinamakan sebagai ‘Tokoh Automotif Terbaik 2017’ pada Anugerah Kereta Malaysia Terbaik 2017 oleh Institut Automotif Malaysia.
Perodua, melalui 181 pusat jualan di seluruh negara, telah menjual 184,707 kenderaan pada 11 bulan pertama 2017, lonjakan 1.2 peratus daripada 182,485 yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2016. – Bernama