Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peroleh emas setelah dua kali gagal

    MANILA, 1 DIS – Atlet wusyu Malaysia, Loh Choon How menyifatkan kegagalannya dalam dua penyertaan di Sukan SEA sebelum ini, sebagai pembakar semangat untuk bangkit menyumbang pingat emas pertama negara di Sukan SEA ke-30.

    Beliau pernah menyertai temasya dwitahunan itu pada edisi 2013 di Nay Pyi Taw dan 2015 di Singapura, namun gagal menghadiahkan sebarang pingat buat Malaysia.

    Menurut atlet berusia 26 tahun itu, beliau sendiri tidak menyangka nasibnya akan berubah sehingga meraih pingat emas pada temasya edisi kali ini, malah secara peribadi tidak meletakkan sasaran tinggi kepada dirinya.

    “Saya tak jangka banyak, saya tahu prestasi diri sendiri macam mana, jadi saya tak mahu bagi tekanan pada diri dan cuba buat sebaik yang mungkin serta mengelakkan daripada membuat kesilapan yang menyebabkan markah ditolak dengan mudah.

    “Kali ini saya rasa macam puas, dapat perbetulkan kesilapan diri saya yang dulu,” katanya. Choon How menghadiahkan pingat emas pertama negara, selepas mengutip 9.68 mata dalam acara taijiquan lelaki yang berlangsung di World Trade Center di sini, hari ini.

    Atlet dari Kuala Lumpur itu menewaskan pemenang pingat perak dari Brunei, Zheng Yu Hosea Wong yang mengumpul 9.59 mata dan gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Parantac Daniel yang mengutip 9.56 mata.

    Sementara itu, jurulatih negara Lim Yew Fai berkata beliau bangga dengan pencapaian anak didiknya pada hari pertama wusyu dipertandingkan apabila bukan sahaja menghadiahkan pingat emas tetapi turut menyumbangkan satu pingat perak. – Bernama

    Atlet wusyu Loh Choon How menyumbang pingat emas pertama Malaysia dalam acara Taijiquan Lelaki sempena Sukan SEA Filipina di World Trade Center Manila kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda