SIBU, 2 FEB – Golongan peniaga di negara ini perlu melakukan perubahan model perniagaan kepada e-dagang bagi mendapat manfaat daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata model perniagaan e-dagang diguna pakai di seluruh dunia dan aktiviti e-dagang itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus.
“Inilah revolusi perindustrian yang sedang berlaku sekarang. Malaysia telah mengalami pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga 4.7 peratus pada tahun lepas, namun ramai pihak khasnya golongan peniaga tidak merasai atau mendapat manfaat daripadanya.
“Golongan peniaga di negara ini masih ramai yang mengamalkan model perniagaan konvensional…mereka harus berubah mengikut peredaran zaman bagi mendapat manfaat daripada pertumbuhan KDNK itu,” katanya. – Bernama