PARIS, 22 APRIL – Sekumpulan suspek yang dikenali sebagai ‘perompak atuk’ akan dibicarakan pada hujung April atas tuduhan mencuri barang kemas bernilai jutaan dolar milik bintang realiti TV AS, Kim Kardashian di Paris pada tahun 2016.
Dalam apa yang digelar media Perancis sebagai ‘rompakan abad ini’, lelaki bertopeng berkenaan melarikan diri dari sebuah hotel mewah di Paris tempat Kardashian menginap pada Oktober 2016 dengan barang kemas bernilai jutaan dolar, termasuk cincin berlian yang dihadiahkan oleh suaminya ketika itu, penyanyi rap Kanye West.
Menurut peguamnya di AS, Michael Rhodes, Kardashian dijadualkan hadir memberi keterangan secara peribadi dalam perbicaraan yang bermula pada 28 April.
Sepuluh orang akan didakwa dan keputusan dijangka diumumkan pada 23 Mei, manakala Kardashian dijangka hadir pada 13 Mei, mengikut jadual sementara.
Dalam rompakan individu terbesar di Perancis dalam tempoh 20 tahun, Kardashian telah kehilangan barang kemas dianggarkan bernilai 10 juta euro (AS$11.4 juta) ketika menginap di sebuah kediaman mewah semasa Minggu Fesyen Paris.

Antara suspek yang ditahan empat bulan kemudian di Paris dan selatan Perancis ialah Aomar Ait Khedache, yang juga dikenali sebagai ‘Omar Tua’, 68, dan dia mengaku terlibat tetapi menafikan dia merupakan ketua kumpulan tersebut.
Dua hakim penyiasat mengarahkan semua suspek dibicarakan oleh juri, satu langkah yang hanya diambil untuk jenayah paling serius di Perancis atas tuduhan rompakan bersenjata, penculikan dan keahlian kumpulan jenayah.
Selain cincin berlian 18.88 karat, kumpulan itu turut melarikan beberapa barang kemas emas dan berlian, termasuk jam tangan Rolex emas.
Seorang lagi suspek, Yunice Abbas, 71, menjatuhkan loket salib bertatah berlian bernilai 30,000 euro semasa melarikan diri dengan basikal yang kemudiannya ditemui orang awam beberapa jam selepas kejadian rompakan tersebut.
Daripada 12 orang yang asalnya didakwa, hanya 10 yang akan hadir dalam perbicaraan.
Seorang telah meninggal dunia manakala seorang lagi, Pierre Bouianere, 80, tidak layak untuk dibicarakan kerana masalah kesihatan dan akan dibicarakan secara berasingan. – AFP